SEPANG: Prinsipal Aprilia Racing, Massimo Rivola berkata, beliau tidak mengetahui sebab kemalangan melibatkan Jorge Martin kerana baginya pelumba itu yang juga juara dunia MotoGP tidak melakukan kesilapan.
“Kemalangan itu teruk dan setakat ini ia tidak berpunca daripada pihak kami mahupun motosikal yang digunakan. Dia adalah juara dunia dan juga penunggang MotoGP. Dia bukan penunggang amatur, malah motosikal itu tidak mempunyai masalah,” katanya
Juara dunia perlumbaan MotoGP, Jorge Martin terpaksa melupakan baki sesi ujian pramusim di negara ini selepas mengalami patah tangan dan kaki selepas terlibat dalam kemalangan di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.
Martin akan menjalani rawatan lanjut di Eropah ekoran insiden kedua yang menyebabkan dia terpelanting dari motosikalnya di selekoh kedua litar tersebut.
Kecederaan itu menyebabkan timbul persoalan sama ada dia mampu pulih sebelum musim baharu membuka tirai di Grand Prix Thailand pada 2 Mac ini.
“Pemeriksaan imbasan terhadap Jorge Martin mendapati tangan kanan dan kaki kirinya patah. Dia akan dirawat sementara di sini sebelum kembali ke Eropah untuk pembedahan,” kata kenyataan penganjur MotoGP.
Pelumba berusia 27 tahun itu berhijrah ke pasukan Aprilia selepas menjuarai musim 2024 bersama Pramac Ducati.
Dia telah menyempurnakan 13 pusingan latihan sebelum hilang kawalan dan tercampak dari motosikalnya. – AFP/UTUSAN










