KUALA LUMPUR: Prospek pertumbuhan sederhana dan jangka panjang Malaysia kekal optimis dalam tempoh sebulan yang lalu di sebalik ketegangan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, kata Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Rafizi merujuk kepada pengukuhan ringgit pada minggu lalu sebagai bukti keyakinan pasaran.
“Pengukuhan ringgit adalah sepenuhnya disebabkan oleh fungsi pasaran berikutan sifat perang perdagangan yang sentiasa berkembang dan berubah ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Laporan Bank Dunia mengenai Mengurangkan Ketidaksamaan dan Memperkukuh Mobiliti di Malaysia, di sini semalam.
Beliau menjelaskan bahawa jangkaan pasaran, spekulasi, dan unjuran sememangnya akan mempengaruhi pergerakan ringgit.
“Jadi, saya fikir sudah menjadi lumrah bahawa kita perlu mengharungi beberapa perubahan dan ketidakstabilan. Saya berharap ia tidak akan menjadi terlalu ekstrem,” katanya.
Rafizi berkata, kerajaan sedang memantau situasi perang perdagangan dengan teliti, dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ditugaskan untuk menilai potensi impaknya.
“Kami akan mendapatkan panduan daripada MITI mengenai pendirian rasmi kami. Buat masa ini, tiada perbincangan mengenai semakan semula unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Kebiasaannya, ramalan pertumbuhan kerajaan dimuktamadkan dan dikongsi lebih dekat dengan pembentangan belanjawan kecuali terdapat perkembangan drastik,” katanya.
Beliau berpendapat bahawa penyesuaian dan ketidakstabilan akan menjadi ciri kekal dalam ekonomi global apabila lebih banyak ekonomi menjadi berpengaruh dalam rantaian bekalan global.
“Kita perlu melalui beberapa fasa penyesuaian dan ketidakstabilan. Persoalannya ialah sama ada ia bersifat jangka pendek atau sederhana.
“Akhirnya, pasaran akan mengambil kira segala-galanya, asalkan naratif pertumbuhan asas kita kekal kukuh. Pada masa ini, saya percaya kita masih mempunyai proposisi nilai yang sangat kuat untuk dunia,” ujarnya.
Menurutnya, beberapa hipotesis utama yang mendorong minat terhadap ekonomi Malaysia sepanjang tahun lalu masih kekal tidak berubah.
“Unjuran bahawa dunia akan menjadi lebih digital dan Kecerdasan Buatan (AI) akan menjadi arus perdana masih kekal. Ini bermakna permintaan untuk cip akan meningkat, yang seterusnya akan mengukuhkan perdagangan Malaysia.”
“Rancangan jangka panjang Malaysia untuk memastikan negara memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global juga tidak berubah,” katanya.
Sementara itu, Rafizi berkata, Rang Undang-Undang Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) dijangka dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya awal Mac, tertakluk kepada draf akhir dan rundingan dengan pihak berkepentingan.
“Sasaran kami adalah untuk membentangkannya pada sesi Parlimen ini. Kami sedang melalui peringkat akhir draf.
“Kami juga sedang membuat penambahbaikan berdasarkan maklum balas daripada pihak berkepentingan dan sasaran kami adalah untuk memuktamadkan dan membentangkan rang undang-undang ini di Parlimen pada sesi ini.
“Bagi menangani ketidaksamaan, kita perlu mengambil pendekatan penilaian holistik, campur tangan awal terhadap jurang peluang, dan komitmen untuk mewujudkan pasaran buruh yang dinamik,” katanya. – UTUSAN











