Konflik Gaza, pendirian Malaysia kekal utuh – PM

Konflik Gaza, pendirian Malaysia kekal utuh – PM

ANWAR Ibrahim bersama Shavkat Mirziyoyev di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. – FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pendirian Malaysia berhubung konflik Gaza kekal utuh, meskipun Presiden Donald Trump membuat cadangan agar Amerika Syarikat (AS) mengambil alih wilayah bergolak itu.

Perdana Menteri berkata, pendirian Malaysia kekal tidak berganjak dan selari dengan negara-negara Islam yang lain.

Bagaimanapun katanya, ke­rajaan akan meneliti terlebih dahulu kenyataan Trump sebelum membuat ulasan lebih lanjut mengenainya.

“Kita akan teliti kenyataan dahulu (Trump) dan akan ulas.

“Gaza, yang penting pendirian Malaysia kekal seperti negara-negara Islam lain,” katanya selepas melancarkan dua jilid buku berjudul ‘A Malik Bennabi Reader’ serta penubuhan International Institute of Futures Studies di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, semalam.

Terdahulu, Trump membuat cadangan agar AS ‘mengambil alih’ Semenanjung Gaza, ketika beliau menjadi tuan rumah kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bagi run­dingan penting mengenai genca­tan senjata dengan Hamas.

Trump juga meningkatkan gesaannya supaya rakyat Pa­lestin berpindah keluar dari wilayah yang dilanda perang itu ke negara Asia Barat seperti Mesir dan Jordan.

Perkara itu tetap disuarakan meskipun rakyat Palestin dan kedua-dua negara berkenaan menolak mentah-mentah cadangan Trump.

Sebelum ini, Anwar menegaskan pengumuman gencatan senjata di Gaza perlu disusuli de­ngan perancangan pemulihan wilayah itu.

Sehubungan itu, Anwar ber­kata, Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi meringankan penderitaan penduduk Pa­lestin.

Sementara itu, dalam per­kembangan lain, Ma­lay­sia dan Uzbekistan me­nyasar untuk membangunkan zon perindustrian bersama di negara Asia te­ngah itu bagi membuka peluang baharu pelaburan strategik dan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.

Anwar dan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyo­yev berkata, zon perindustrian itu membuka ruang bagi memperkenalkan amalan terbaik dan kepakaran dalam pemba­ngunan dan operasi taman pe­rindustrian.

“Di samping itu, ini juga akan memupuk kerjasama da­lam menarik syarikat pengurusan, pengurus taman dan pelabur lain untuk mengambil bahagian dalam perancangan dan pembangunan zon perindustrian di Uzbekistan,” kata­nya dalam satu kenyataan bersama semalam.

Terdahulu, Shavkat dan de­legasi diberikan sambutan rasmi dan pemeriksaan pasukan Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.

Ini adalah lawatan pertama Shavkat ke negara ini sejak dilantik sebagai Presiden pada Disember 2016 di samping kunjungan balas susulan lawatan Anwar ke Uzbekistan pada Mei tahun lalu.

Selain itu, kedua-dua pe­mimpin turut menekankan ke­pentingan meningkatkan ker­jasama ekonomi dalam sektor utama seperti tenaga boleh baharu, industri halal, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), pembangunan bandar pintar dan pembangunan pemula niaga, antara lainnya untuk memberikan manfaat bersama bagi kedua-dua negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×