KULAI: Tindakan licik sindiket penyelewengan bahan api menggunakan kad subsidi diesel terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menyerbu sebuah stesen minyak di Jalan Seelong, Senai, di sini semalam.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, serbuan yang dijalankan pada pukul 2 petang itu menyaksikan pelbagai peralatan dirampas termasuk diesel sebanyak 2,400 liter dengan nilai keseluruhan rampasan RM60,660.
Beliau berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat awam dan risikan berterusan berhubung aktiviti pembelian bahan api bersubsidi melibatkan premis berkenaan.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati sebuah lori yang mencurigakan sedang mengisi minyak diesel secara terus ke dalam tangki simpanan yang telah diubah suai di bahagian belakang kenderaan itu.
“Hasil pemeriksaan lanjut, penguat kuasa merampas lori berkenaan bersama empat unit tangki Intermediate Bulk Container (IBC), sebuah flow meter, empat unit pam berserta hos dan dua unit telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Lilis Saslinda, penguat kuasa turut menyita 15 ‘fleet card’ serta lima helai salinan resit pembelian minyak diesel yang dipercayai menjadi modus operandi utama sindiket bagi membeli bahan api bersubsidi berkenaan secara berulang kali.
“Dua lelaki tempatan berusia 30-an yang berada di dalam lori berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan, manakala pengusaha stesen minyak disiasat mengikut Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana gagal mematuhi arahan Pengawal Bekalan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961. KPDN Johor akan terus dipertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan barangan kawalan tidak diseleweng mana-mana pihak,” katanya.-UTUSAN










