Memilih pendakap gigi yang terbaik

Memilih pendakap gigi yang terbaik

PENDAKAP gigi dipasang dengan penuh teliti dan sepanjang proses pemakaian pesakit perlu bersabar untuk menyesuaikan diri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebanyakan individu menganggap pendakap gigi atau braces hanya sebagai satu alat untuk mendapatkan senyuman yang lebih sempurna.

Namun, bagi sesetengah individu, pemakaian pendakap gigi adalah satu langkah besar dalam meningkatkan keyakinan diri, bukan sekadar untuk kecantikan tetapi juga untuk kesihatan mulut jangka panjang.

Pakar Pergigian Klinik Pergigian Yes Dental, Dr. Yasmin Lukman berkata, pendakap gigi adalah sejenis rawatan untuk menyelaraskan kedudukan gigi sama ada dengan meluruskan atau menutup sebarang celah antara gigi.

Katanya, bagi individu yang memutuskan untuk memakai pendakap gigi, langkah pertama adalah memahami pilihan jenis yang tersedia di pasaran.

“Terdapat pelbagai pilihan pendakap gigi, antaranya pendakap gigi konvensional, pendakap ikatan sendiri dan pendakap lut sinar yang hadir dengan kelebihan tersendiri, disesuaikan dengan keperluan dan keselesaan setiap pesakit.

“Setiap jenis ini direka untuk memenuhi keperluan yang berbeza antaranya mengikut umur pesakit hingga ke kondisi gigi yang ingin diperbaiki.

Sebagai contoh, pendakap ikatan sendiri atau self-ligating braces lebih disarankan untuk individu berumur 35 tahun ke atas kerana ia lebih efektif untuk menggerakkan gigi yang lebih keras akibat penuaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

PROSEDUR DAN KOS

Menurut Yasmin, memakai pendakap gigi bukanlah proses yang boleh dilakukan dalam sekelip mata.

Setiap langkah diambil dengan teliti bagi memastikan hasil yang terbaik untuk memperbaiki susunan gigi.

“Proses pemakaian pendakap gigi bermula dengan sesi perundingan bersama doktor gigi, di mana doktor akan menilai kondisi gigi dan mencadangkan jenis pendakap yang paling sesuai mengikut keperluan pesakit.

“Setelah itu, acuan gigi diambil untuk mempelajari susunan gigi pesakit, diikuti dengan pemeriksaan sinar X.

“Pendakap gigi dipasang dengan penuh teliti dan sepanjang proses pemakaian, pesakit perlu bersabar untuk menyesuaikan diri dengan peralatan di dalam mulut hingga memastikan kebersihan gigi dijaga dengan baik,” ujarnya.

Mengulas mengenai kos pemakaian pendakap gigi, Yasmin menjelaskan harga bermula dari RM4,000 ke atas, bergantung kepada jenis pendakap yang dipilih serta keperluan perawatan pesakit.

“Walaupun jumlah ini mungkin kelihatan besar, ia merupakan pelaburan jangka panjang untuk kesihatan gigi dan keyakinan diri.

“Selain itu, hasil yang diperoleh selepas tempoh pemakaian akan memberi impak positif kepada senyuman pesakit, menjadikannya satu keputusan yang sangat bernilai untuk masa hadapan” katanya.

RUTIN PENJAGAAN

Kata Yasmin, kebersihan mulut merupakan aspek yang paling penting bagi individu yang memakai pendakap gigi.

Selepaspemasangan pendakap gigi, penjagaan yang teliti dan konsisten amat penting bagi memastikan proses penyusunan gigi berjalan dengan lancar.

Penjagaan yang baik juga mengelakkan mulut berbau atau rasa tidak enak pada bahagian gusi

“Makanan sering kali melekat pada bahagian pendakap gigi dan jika tidak dijaga dengan sempurna, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan mulut seperti bau tidak sedap atau gusi yang bengkak.

“Gosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari, pastikan untuk membersihkan di sekitar braket dan wayar dengan teliti menggunakan berus gigi berbulu lembut dan ubat gigi berfluorida.

“Sebagai tambahan, gunakan flos gigi untuk membersihkan ruang antara gigi yang sukar dicapai dan juga pembersih mulut bebas alkohol untuk membunuh bakteria dan mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.

Rutin penjagaan gigi yang baik bukan sahaja membantu mengelakkan masalah seperti keradangan atau kerosakan pada pendakap, tetapi juga memastikan senyuman yang diimpikan tercapai tanpa sebarang halangan.

Selain itu, memilih warna getah besi yang ceria atau trendy memberikan kepuasan tersendiri, sekali gus meningkatkan keyakinan setiap kali tersenyum.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×