Hakim buru ranking tiga terbaik dunia  

Hakim buru ranking tiga terbaik dunia  

HAKIM DANISH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Musim 2025 amat penting bagi menentukan hala tuju karier pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli sama ada dia mampu menempatkan dirinya ke dalam kancah Kejuaraan Motosikal Dunia secara merit atau ia berlaku sebaliknya.

Untuk meraih laluan lebih mudah ke perlumbaan berprestij itu, pelumba yang baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu memastikan dia menamatkan saingan Piala Red Bull Rookies, musim ini di kedudukan tiga terbaik.

Ini kerana kedudukan tersebut menjanjikan tempat buat Hakim Danish untuk bergelar pelumba Moto3 secara automatik dan tidak perlu pening kepala mencari pasukan mahupun penaja.

Pada musim lalu, anak jati Terengganu itu melengkapkan aksinya di tangga keenam keseluruhan dan memandangkan usianya masih belum mencecah 18 tahun maka Hakim Danish tidak layak dinaikkan ke perlumbaan Moto3.

Hakim Danish berkata, dia akan bersaing di dalam Piala Red Bull Rookies buat musim ketiga dan sedar untuk tahun baharu, cabaran lebih sengit menantinya.

“Untuk rebut slot ke Moto3, saya perlu sentiasa memastikan persembahan konsisten dalam setiap perlumbaan, tetapi, ia tidak mudah dilakukan.

“Saya sudah tengok senarai pelumba bagi musim 2025, ramai pelumba baharu. Pelumba yang beraksi sejak musim lalu juga ada seorang atau dua orang yang kuat antaranya Brian Uriarte,” katanya.

Katanya, pelumba berusia 16 tahun kelahiran Sepanyol itu bakal menjadi ancaman terbesar kepadanya kerana Uriarte melakar keputusan cemerlang pada musim 2024 selepas menamatkan aksi di tangga kedua keseluruhan.

“Selain Uriarte, wajah-wajah baharu perlu diawasi kerana mereka ini biasanya sangat laju dan keupayaan sebenar mereka masih tidak saya ketahui,” katanya.

Hakim Danish yang ditimpa kecederaan kerana kemalangan tiga bulan lalu baru sahaja disahkan cergas.

“Saya sudah pulih, kecederaan pada jari kanan saya telahpun sembuh, cuma perlu sesuaikan diri dengan motosikal, semasa tempoh pemulihan saya lebih fokus memperbaiki tahap kecergasan saya,” katanya yang akan berpangkalan secara sepenuh masa di Sepanyol tahun ini.

Mengulas pula mengenai Kejuaraan JuniorGP, Hakim Danish berkata, dia masih belum mengetahui sama ada akan bersaing di dalam perlumbaan itu ataupun tidak kerana ZK Racing masih di dalam rundingan dengan SIC.

Piala Red Bull Rookies akan membuka tirai perlumbaan pada 26-27 April ini di Litar Jerez, Sepanyol dan sebanyak tujuh pusingan perlu dilengkapkan pelumba. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×