DALAM kegembiraan kita semua meraikan perayaan Tahun Baharu Cina, usah dilupa ada dalam kalangan kita yang berdepan dengan bencana. Kami berdua berharap rakan-rakan yang terlibat dengan bencana alam seperti banjir yang berlaku di Bintulu, Sarawak akan dapat segera dibantu.
Begitulah kehidupan, tiada siapa pun kita yang mahu berdepan dengan bencana yang tidak dijangka. Kebakaran yang melanda Los Angeles dan kini merebak ke California di Amerika Syarikat juga menjadi tauladan kepada kita. Tepatlah peribahasa yang berbunyi bahawa malang itu tidak berbau. Rakyat Malaysia yang tinggi nilai ihsan seperti yang digariskan melalui konsep Madani, akan segera menghulurkan bantuan serta pertolongan dalam apa cara sekalipun sekiranya diperlukan. Mungkin ada dalam kalangan kita memiliki pengalaman bermakna ini.
Kecaknaan, keprihatinan serta ihsan adalah nilai karamah insaniah yang amat perlu ada dalam diri setiap warganegara Malaysia tidak kira kaum dan keturunan. Sebagai bangsa Malaysia yang unik, kepelbagaian budaya dan warisan serta nilai rohani yang teguh dalam diri, warganegara
Malaysia sudah tentu akan dapat menjalani kehidupan dengan semangat perpaduan yang tinggi, cubit paha kanan, paha kiri pun merasa juga, yang bermaksud setiap kesusahan yang dialami oleh seseorang dalam kehidupannya akan turut dirasai oleh ahli keluarga yang lain atau masyarakat yang lainnya.
Amatlah dibimbangi, kehidupan generasi hari ini yang terlalu bergantung dengan teknologi akan terhakis nilai kemanusiaan yang diperbincangkan ini. Oleh kerana itu, pelbagai usaha dilaksanakan oleh pelbagai pihak bagi memastikan nilai-nilai kemanusiaan ini akan dapat dilestarikan.
Tanyalah diri kita sendiri, sejauh manakah kita telah melaksanakan usaha-usaha bagi melestarikan nilai kemanusiaan ini dalam kehidupan kita. Sama ada kita sebagai orang biasa atau pempengaruh pelbagai latar, apakah kita telah menjalankan tanggungjawab kita dengan nilai kemanusiaan ini.
Dunia hari ini di mana-mana memperkatakan hubungan antara manusia dan teknologi yang dihasilkannya. Apakah teknologi yang dihasilkan ini akan digunakan oleh manusia dengan cara yang jujur dan dapat meluaskan manfaat kepada pihak lain. Atau adakah manusia akan semakin hilang perikemanusiaan dan sensitivitinya dek kerana keterujaan meladeni teknologi.
Istilah kecerdasan buatan (AI) kini digunakan dalam pelbagai program dan sistem komputer untuk melaksanakan tugas yang lebih kompleks daripada program komputer biasa, walaupun masih jauh daripada menandingi kepintaran manusia, AI dilihat perkakas utama dalam memajukan kerja-kerja manusia.
Walaupun kecerdasan buatan belum mampu menandingi kehebatan intelek manusia, teknologi ini telah digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang, seperti pemprosesan maklumat, permainan komputer, keselamatan negara, perdagangan elektronik, sektor industri, pendidikan, perubatan termasuk sistem diagnostik.
AI dilihat sebagai penggunaan teknologi tinggi untuk mempermudah kehidupan manusia ke arah yang lebih cepat, berkesan, dan tidak terhad. Namun, seperti teknologi lain, AI memiliki sisi baik dan buruk. Salah satu persoalan yang timbul ialah, adakah AI mampu menandingi kebijaksanaan manusia?
Untuk memastikan AI tidak memberi kesan buruk kepada manusia, AI mesti mematuhi prinsip etika yang tinggi. Algoritma yang digunakan dalam AI perlu memasukkan nilai kemanusiaan untuk memastikan keseimbangan antara kemajuan teknologi dan kemanusiaan. Pembangun AI perlu menetapkan standard etika dalam algoritma mereka kerana AI tidak mempunyai nilai atau etika secara semula jadi. Dalam hal ini, adab menjadi aspek penting dalam pembangunan AI. Adab bukan hanya sekadar etiket, tetapi juga merujuk kepada kemampuan seseorang untuk mengenali dan menghormati kedudukan setiap perkara dalam kehidupan berdasarkan martabatnya masing-masing.
Jika sesuatu dasar atau teknologi tidak dapat membentuk masyarakat yang beradab, maka ia wajar ditinggalkan dan tidak perlu dimasukkan dalam dasar pendidikan negara. Kita tidak boleh terikut-ikut dengan desakan antarabangsa atau trend terkini yang boleh merosakkan asas kemanusiaan.
Kemanusiaan merujuk kepada sifat manusia yang berlandaskan budi pekerti, kemampuan untuk berfikir, merasa, berkehendak, dan mencipta. Konsep keadilan dalam kemanusiaan menuntut keputusan dan tindakan yang berdasarkan norma objektif, bukannya subjektiviti atau kesewenang-wenangan.
Beradab berasal dari adab, yang bermaksud berbudaya, dan mencerminkan sikap yang berlandaskan norma sosial dan moral. Namun, kemajuan Revolusi Industri 4.0 telah memberi cabaran terhadap penghayatan nilai kemanusiaan. Ketergantungan berlebihan pada sains dan teknologi boleh mengancam norma kehidupan yang harmonis. Jika tidak dikendalikan dengan bijaksana, teknologi ini boleh memberi kesan negatif, terutamanya terhadap perpaduan etnik di negara kita.
Nilai kemanusiaan sangat penting dalam membentuk sikap individu, terutama dalam menghadapi cabaran era moden. Nilai-nilai ini dapat diperkukuhkan melalui pemahaman agama, yang merupakan asas dalam pembentukan sifat kemanusiaan. Hubungan antara agama, budaya, dan etnik memerlukan pemahaman mendalam agar masyarakat dapat menghargai nilai kemanusiaan dan bersedia menghadapi cabaran kehidupan yang semakin kompleks.
Oleh itu, penting bagi kita untuk terus berpegang teguh pada nilai kemanusiaan agar pembangunan negara tidak mengorbankan keharmonian sosial dan perpaduan antara pelbagai etnik.
Merujuk pada kejadian tragis di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Terengganu, di mana seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental dipukul, mencetuskan persoalan mengenai hilangnya belas kasihan dalam masyarakat. Kejadian ini menunjukkan betapa pentingnya nilai kemanusiaan dalam kehidupan seharian kita. Sama ada secara fizikal mahupun menggunakan teknologi, kami menyeru agar semua warganegara perbaharu tekad untuk meningkatkan nilai kendiri kemanusiaan terhadap diri masing-masing.
Usahlah kita dibelenggu dengan nilai jahat yang akan merosakkan nilai kemanusiaan yang ada dalam diri kita. Nilai jahat serta nilai kemanusiaan mestilah dapat dibezakan dengan jelas apatah lagi menyentuh kesopanan dan kesusilaan yang semakin terhakis dalam diri sesetengah kita.
Sempena sambutan Tahun Baharu Cina, kami ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang menyambutnya. Semoga AI beradab serta pengukuhan adab dalam kalangan rakyat dapat diwujudkan dengan semangat kemanusiaan yang tinggi dan perpaduan antara kaum di Malaysia terus diperkukuhkan dan kita akan meraih kejayaan bersama-sama. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Felow Institut Masa Depan Malaysia (MASA). Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka.










