Peniaga kecewa Pasar Tani Ramadan dibatal saat akhir

Peniaga kecewa Pasar Tani Ramadan dibatal saat akhir

SEBAHAGIAN peniaga berhimpun di RTC Kota Bharu, semalam susulan keputusan membatalkan Pasar Tani Ramadan di pekarangan Stadium Muhammad IV. – UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kira-kira 160 peniaga kesal dan kecewa dengan tindakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan yang membuat keputusan pada saat akhir untuk tidak menganjurkan Pasar Tani Ramadan di pekarangan Stadium Muhammad IV di sini, tahun ini.

Sebilangan besar peniaga mendakwa sudah mengeluarkan modal antara RM1,000 hingga RM6,000 bergantung kepada jenis perniagaan untuk membeli bahan mentah sejak sebulan lalu.

Seorang peniaga kuih-muih, Norizan Che Ngah, 57, berkata, dia kecewa selepas dimaklumkan mengenai perkara tersebut minggu lepas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, FAMA sepatutnya memaklumkan pembatalan pe­nganjuran pasar tani sebulan lebih awal bagi mengelak kekeliruan peniaga.

“Saya hanya mengetahui pasar tani itu tidak dianjurkan oleh FAMA daripada peniaga lain pada minggu lepas.

“Saya kecewa kerana modal untuk membeli bahan mentah sebanyak RM1,000 sudah di­keluarkan untuk berniaga di bazar berkenaan,” katanya di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini, semalam.

Norizan yang sudah berniaga selama 15 tahun di Pasar Tani Ramadan itu berharap ada pihak yang dapat membantu peniaga asal untuk berniaga di kawasan yang sama dengan kadar sewa berpatutan seperti sebelum ini iaitu RM500 sebulan.

Katanya, FAMA sudah memberikan peluang yang terbaik kepada peniaga di situ sejak 30 tahun lalu sekali gus membantu usahawan di bawah bimbingan agensi itu untuk mencari rezeki sepanjang Ramadan.

Seorang lagi peniaga, Norfatimah Mansor, 36, berkata, pada awalnya dia dan peniaga lain dimaklumkan diberi borang untuk berniaga di Pasar Tani Ramadan itu pada 21 Januari lepas.

Katanya, dia kemudian dimaklumkan bahawa penganjuran Pasar Pasar Tani Ramadan dengan kerjasama Perbadanan Stadium dan Majlis Perbandaran Kota Bharu, Bandar Raya Islam (MPKB- BRI) bagi tahun ini ditamatkan.

“Isunya sekarang adalah peniaga dimaklumkan pada saat akhir. Ramai peniaga sudah membeli bahan mentah malah ada yang telah membuat bayaran deposit untuk membeli kelengkapan jualan pada tahun ini,” katanya.

Katanya, dia dan peniaga lain juga bimbang sewa tapak pasar itu meningkat sekiranya diuruskan oleh pihak lain selepas ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini