Pantau peniaga jadikan gaji minimum alasan naik harga barang

Pantau peniaga jadikan gaji minimum alasan naik harga barang

PENIAGA diingatkan untuk tidak memindahkan kos kenaikan operasi kepada pengguna susulan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemindahan kos kenaikan operasi kepada pengguna akibat pelaksanaan gaji minimum baharu akan menaikkan harga barang dan perkhidmatan, sekali gus mengurangkan kuasa beli rakyat.

Wakil Pusat Pilihan Pengguna Malaysia, Tarmizi Anuwar berkata, kenaikan kos operasi menyebabkan peniaga menaikkan harga terutama dalam sektor yang bergantung kepada tenaga kerja berkemahiran rendah.

Beliau berkata, jika situasi itu berterusan, kesejahteraan ekonomi rakyat boleh terjejas kerana perbelanjaan isi rumah semakin terhad.

“Sektor makanan dan perkhid­matan, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) paling terkesan kerana margin keuntu­ngan yang rendah.

“PKS sukar menyerap kenaikan kos buruh tanpa menaikkan harga. Ini berbeza dengan syarikat besar yang lebih stabil dari segi kewa­ngan untuk menyesuaikan syarikat dengan perubahan dasar gaji,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, majikan diingatkan untuk tidak memindahkan kos kenaikan operasi kepada pengguna susulan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu.

Tarmizi berkata, kesan jangka panjang terhadap perbelanjaan pengguna membimbangkan ke­rana kenaikan kos boleh menyebabkan harga meningkat atau pengurangan tenaga kerja.

“Jika kadar pengangguran meningkat, pertumbuhan ekonomi negara boleh terjejas,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan pemotongan cukai dan insentif bagi membantu majikan mengurangkan kos perniagaan.

Katanya, langkah ini dapat membantu syarikat mengekalkan pekerja dan menawarkan gaji lebih tinggi secara sukarela tanpa perlu bergantung kepada mekanisme gaji minimum yang ketat.

“Dalam jangka panjang, dasar gaji minimum perlu dikaji supaya tidak memberi tekanan berlebihan kepada majikan dan pengguna,” katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff pula berkata, majikan mengakui menghadapi tekanan besar setiap kali gaji dinaikkan.

Katanya, industri perlu menyusun strategi mengurus kos operasi supaya kenaikan gaji tidak menyebabkan harga barang meningkat secara mendadak.

“Kita perlu sedar kos sara hidup pekerja dan buruh semakin tinggi akibat kenaikan harga barang.

“Jika kenaikan gaji dimasukkan terus dalam kos operasi tanpa perancangan, harga barang akan naik dan mencetuskan kitaran peningkatan kos hidup,” katanya.

Yusrizal berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri perlu lebih tegas memantau syarikat yang mengambil keuntungan berlebihan.

“Penguatkuasaan terhadap syarikat yang meraih keuntungan melebihi 50 peratus perlu diketatkan.

“Sistem e-invois yang sedang dilaksanakan boleh digunakan untuk menilai sama ada syarikat mengambil keuntungan tidak wajar,” katanya terhadap peniaga yang menggunakan gaji sebagai alasan kenaikan harga.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×