WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan tarif baharu sebanyak 25 peratus ke atas import Kanada dan Mexico serta 10 peratus ke atas barangan dari China bermula Selasa.
Langkah itu dilihat bakal mencetus perang perdagangan baharu dan boleh memperlahankan pertumbuhan global selain dikhuatiri melonjakkan semula inflasi.
UMUM TARIF BAHARU
Trump menandatangani tiga perintah eksekutif berasingan mengenai tarif selepas bermain golf di Florida, berikrar untuk mengekalkannya sehingga ‘darurat negara’ berhubung dadah fentanyl dan pendatang haram ke AS berakhir.
Eksport Kanada dan Mexico ke AS akan menghadapi tarif 25 peratus mulai Selasa, walaupun sumber tenaga dari Kanada akan mempunyai levi 10 peratus lebih rendah.
Barangan dari China, yang sudah menghadapi pelbagai kadar duti, akan menyaksikan tarif tambahan 10 peratus.
Berikutan kebimbangan yang dibangkitkan oleh syarikat penapis minyak dan beberapa negeri di AS, Trump hanya mengenakan duti 10 peratus ke atas produk tenaga dari Kanada, dengan import tenaga Mexico menghadapi tarif penuh 25 peratus.
Beliau menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa untuk mengenakan tarif tersebut, dengan Rumah Putih merujuk ancaman luar biasa yang ditimbulkan oleh pendatang haram dan dadah, termasuk fentanyl yang boleh membawa maut.
Menurut lembaran fakta yang dikeluarkan Rumah Putih, tarif tersebut akan kekal sehingga krisis dikurangkan, tetapi tidak memberikan butiran mengenai perkara yang perlu dilakukan oleh ketiga-tiga negara untuk mendapat penangguhan.
Trump telah berulang kali menyatakan persetujuannya terhadap tarif tersebut dan memberi isyarat bahawa tindakan itut mungkin hanyalah tamparan pertama dalam konflik perdagangan selanjutnya yang akan datang.
Minggu ini, beliau turut berjanji untuk mengenakan duti ke atas Kesatuan Eropah (EU) pada masa hadapan.
Beliau juga menjanjikan tarif ke atas produk semikonduktor, keluli, aluminium, minyak dan gas.
“Tarif adalah sumber pengaruh yang kuat dan terbukti untuk melindungi kepentingan negara,” kata Rumah Putih.
CETUS PERANG PERDAGANGAN
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum yang berang dengan tindakan Trump mengumumkan akan mengenakan tarif balas dan merancang melaksanakan beberapa langkah untuk mempertahankan kepentingan negaranya.
Reaksi serupa turut diutarakan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau yang memaklumkan akan mengenakan tarif 25 peratus ke atas AS$106.5 billion (RM474.4 billion) barangan AS sebagai tindak balas.
Trudeau memberi amaran tarif diumumkan Trump bukan sahaja akan menyukarkan warga Kanada tetapi juga bakal merugikan rakyat AS.
“Tarif ini akan menaikkan kos untuk warga AS sendiri, termasuk makanan di kedai runcit dan gas di pam minyak.
“Tindakan ini juga akan menghalang akses mereka kepada bekalan barangan penting yang berpatutan,” katanya.
Kementerian Luar China turut menentang tarif baharu yang dikenakan ke atas Beijing dan berikrar untuk mengambil tindak balas sepadan yang lebih tegas bagi melindungi hak dan kepentingan mereka.
Kementerian itu berkata, Beijing akan memfailkan tuntutan mahkamah di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), mendakwa penguatkuasaan tarif unilateral oleh AS secara serius melanggar peraturan badan tersebut.
“Tarif itu bukan sahaja tidak membantu dalam menyelesaikan masalah AS sendiri, tetapi juga menjejaskan kerjasama ekonomi dan perdagangan biasa.
“China berharap bahawa AS akan secara objektif dan rasional melihat dan menangani isu sendiri seperti fentanyl, dan bukannya mengancam negara lain dengan tarif pada setiap masa,” kata kementerian itu.
Sejak memegang jawatan, Trump mengabaikan amaran daripada ahli ekonomi terkemuka bahawa perang perdagangan baharu dengan rakan dagang utama AS akan menghakis pertumbuhan di peringkat global, malah menaikkan harga akhir kepada pengguna dan syarikat.
Republikan mengalu-alukan berita itu, manakala kumpulan industri dan Demokrat mengeluarkan amaran keras tentang kesan ke atas harga pasaran.
Pengeluar kereta akan terjejas teruk, dengan tarif baharu yang tinggi ke atas kenderaan yang dikeluarkan di Kanada dan Mexico membebankan rantaian bekalan serantau yang luas di mana alat ganti boleh merentasi sempadan beberapa kali sebelum pemasangan terakhir.
Presiden Majlis Perdagangan Luar Negara (NFTC), Jake Colvin turut menggesa AS, Kanada dan Mexico mencari penyelesaian segera bagi mengelakkan kekacauan dan ketidakstabilan pasaran.
“Tindakan Trump akan mengancam kenaikan kos segala-galanya daripada makanan kepada kereta.
“Fokus kami haruslah bekerja bersama-sama dengan Kanada dan Mexico untuk memperoleh kelebihan daya saing dan memudahkan keupayaan syarikat AS untuk mengeksport ke pasaran global,” katanya dalam satu kenyataan.-AGENSI










