Jadikan penjawat awam lebih efisien

Jadikan penjawat awam lebih efisien

Kerajaan menegaskan tiada arahan dikeluarkan bagi penamatan kontrak secara besar-besaran terhadap pegawai yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAHAN pelaksanaan penggiliran kerja ke atas penjawat awam yang berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar baru-baru ini wajar disambut baik oleh semua ketua jabatan dan penjawat awam. Ironinya penggiliran kerja atau pertukaran penjawat awam bukanlah perkara baharu dalam sektor awam justeru arahan terbaru ini dilihat boleh terus memperkasa proses pertukaran yang lebih berfokus dan efisien mengikut keperluan dan kesesuaian setiap agensi kerajaan.

Maka diharap semua jabatan kerajaan mengambil peluang ini untuk meneliti semula penempatan pegawai masing-masing secara menyeluruh tidak terhad kepada petugas kaunter perkhidmatan semata-mata. Ini penting kerana penggiliran kerja yang dilaksanakan secara cekap, bijak dan efisien diyakini mampu menyumbang kepada peningkatan kualiti perkhidmatan individu dan organisasi mencakupi elemen pemerkasaan aspek kecekapan kemahiran dan kompetensi selain peningkatan tahap integriti penjawat awam secara keseluruhannya.

Antara kebaikan dan kelebihan pelaksanaan amalan penggiliran kerja kepada individu dan jabatan ialah, bagi individu ia akan membantu memperkaya dan memperluaskan skop tugas dan kemahiran masing-masing. Amalan ini akan membolehkan penjawat awam tidak bosan dan tepu melaksanakan sesuatu tugas yang sama untuk tempoh masa yang lama selain membuka peluang mempelajari pelbagai skop tugas lain di persekitaran kerja yang baharu. Ini pastinya akan meningkatkan semangat dan motivasi untuk terus belajar dan memberikan perkhidmatan yang terbaik sekali gus menyumbang kepada peningkatan prestasi jabatan secara menyeluruh.

Satu lagi manfaat besar penggiliran tugas ialah dapat berfungsi sebagai langkah pencegahan daripada berlaku sebarang kesalahan tatakelola atau tadbir urus seperti rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Hal ini amat signifikan kerana penempatan yang terlalu lama di sesuatu bahagian atau seksyen terutamanya yang membabitkan tugasan sensitif akan sentiasa mendedahkan pegawai terbabit kepada amalan yang tidak baik.

Justeru, proses penggiliran tugas sangat dituntut dilaksanakan dengan kerap di agensi yang sensitif seperti agensi penguatkuasaan bagi melindungi anggota penguat kuasa dari terjerumus ke kancah rasuah dan salah guna kuasa.

Pelbagai kes yang didedahkan membuktikan amalan rasuah dan salah guna dalam kalangan anggota penguatkuasa cukup membimbangkan. Misalnya baru-baru ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan sindiket penyeludupan rokok elektronik (vape) di Zon Perdagangan Bebas (FCZ) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), disyaki membayar rasuah harian sehingga ribuan ringgit sehari kepada pegawai penguat kuasa untuk melepaskan lori yang digunakan dalam aktiviti itu.

Perubahan tempat bertugas juga akan memperluaskan rangkaian perhubungan penjawat awam apabila mula mengenali rakan setugas yang baharu dan keadaan ini akan membantu memudahkan sesuatu urusan tugas itu dapat dilaksanakan dengan lebih mudah, cepat dan efisien. Ringkasnya, budaya bekerjasama dan ingin membantu akan terus meningkat.

Selain itu, proses pembangunan bakat dan kompetensi khususnya dalam kalangan pegawai muda dapat dirancang dan dibangunkan secara lebih berstruktur melalui amalan penggiliran tugas yang cekap dan efisien. Misalnya melalui amalan ini kita dapat memberikan pengetahuan dan pengalaman secara hands on kepada pegawai muda yang telah dikenalpasti sebagai barisan pelapis yang akan mengetuai organisasi pada suatu hari nanti. Pengalaman secara praktikal seperti ini sangat signifikan dan akan memberikan impak yang besar kepada pembangunan kerjaya penjawat awam.

Aspek kreativiti dan inovasi juga dapat dipertingkatkan apabila seseorang pegawai itu bertukar skop atau tempat tugas. Pertukaran membolehkan seseorang pegawai itu menilai semula fungsi dan peranan sedia ada di tempat baharu sekali gus membuka ruang dan peluang untuk menyuntik elemen perubahan dan penambahbaikan yang signifikan terhadap skop tugas baharu tersebut. Misalnya, pelbagai proses kerja boleh dipercepatkan melalui pendekatan inovasi yang baharu selain menangani pelbagai kerenah birokrasi yang mungkin ada. Situasi ini membolehkan organisasi dan pelanggan memperoleh manfaat yang besar.

Kecekapan dan tahap kompetensi pegawai juga dapat diperkasakan apabila terlibat dalam proses penggiliran tugas. Secara lazimnya, organisasi akan menyediakan latihan kemahiran tentang tugasan baharu kepada pegawai yang baru berpindah masuk sekali gus tahap kemahiran dan kecekapan pegawai dapat dipertingkatkan.

Selain itu, amalan penggiliran tugas juga membolehkan setiap organisasi mengoptimumkan penggunaan sumber manusia terutamanya dari segi menempatkan pegawai di tempat yang betul dan strategik mengikut pengetahuan, pengalaman dan kemahiran. Ini penting bukan saja untuk pembangunan masa depan dan laluan kerjaya pegawai terbabit sebaliknya turut mampu menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan prestasi jabatan yang terlibat.

Pada masa yang sama, budaya kerja berpasukan dan semangat kekitaan juga boleh ditingkatkan melalui proses penggiliran tugas. Misalnya, pegawai yang terlibat dapat memahami dan mengetahui dengan lebih jelas peranan dan fungsi setiap bahagian atau seksyen yang ada dalam organisasi sekali gus menyedari sumbangan organisasi tersebut kepada rakyat dan negara. Ini akan menyuntik semangat kekitaan dan ingin memberikan sumbangan bermakna kepada organisasi.

Agensi kerajaan juga dapat mengurangkan risiko kebergantungan kepada seseorang individu yang mungkin tiba-tiba berhenti, terpaksa mengambil cuti yang panjang mahupun bersara. Apabila lebih ramai pegawai diberi peluang dan pendedahan tentang pelbagai skop kerja di jabatan maka mereka ini mampu mengisi kekosongan tersebut dengan segera sekali gus memastikan perkhidmatan jabatan tidak tergendala dan dapat diteruskan seperti biasa.

Memandangkan proses penggiliran tugas ini ada banyak kebaikan maka diharap agar semua penjawat awam bersedia untuk menerima arahan pertukaran dengan hati yang terbuka dan minda yang positif.

Jangan sesekali melihat proses penggiliran tugas sebagai suatu bentuk hukuman atau ancaman sebaliknya terima sebagai peluang terbaik untuk meneroka pengalaman, pengetahuan dan kemahiran baharu yang pastinya akan bantu meningkatkan laluan kerjaya yang lebih cemerlang.

Tuntasnya, jangan menolak perubahan sebaliknya lihat manfaat yang bakal diperolehi baik untuk kemajuan kerjaya diri mahupun peningkatan prestasi jabatan.

Diharap setiap ketua jabatan akan mengambil peluang melalui arahan KSN ini untuk melaksanakan reformasi penstrukturan dan penyusunan semula penempatan pegawai di semua peringkat dan lapisan secara menyeluruh agar penambahbaikan yang diharapkan itu memberikan impak yang positif jabatan, rakyat dan negara. – UTUSAN

NOOR Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×