ASEAN adalah antara yang aktif memberi perhatian mengenai alam semula jadi. Ia termasuk aktiviti di peringkat komuniti melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekali gus membantu kerajaan dalam pemuliharaan dan membina jaringan kukuh antara negara ASEAN.
Antara NGO yang aktif ialah Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Burung Indonesia, Persatuan Alam Semulajadi Singapura (NSS), Pusat Pemuliharaan Alam Semulajadi Vietnam, Kelab Burung Liar Filipina, Persatuan Pemandu Burung Kemboja (CBGA) serta Persatuan Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan Alam (BANCA) Myanmar. Pertubuhan-pertubuhan ini mempromosi kesedaran awam tentang penjagaan habitat, melindungi dan memulihara burung, di samping mempromosikan ekopelancongan berkaitan burung yang berjalan secara selari.
Kedudukan Malaysia, Indonesia dan Filipina dalam kumpulan negara yang kaya dengan kepelbagaian biologi di dunia membuatkan aktiviti NGO berkaitan alam semula jadi mendapat perhatian global.
Aktiviti ekopelancongan seperti memerhati burung sudah mendapat tempat dalam aktiviti pelancongan dunia. Setiap tahun melalui jaringan pemerhati burung dan NGO berkaitan, aktiviti memerhati burung diadakan. Terdapat tempat-tempat menarik untuk memerhati burung.
Di Malaysia tapak penting memerhati burung ialah di Bukit Fraser dan Taman Negara di Pahang, Belum-Temengor di Perak, Pulau Langkawi di Kedah selain Sepilok, Tabin dan Kinabatangan masing-masing di Sabah.
Di Thailand juga terdapat tempat menarik bagi memerhati burung seperti Taman Negara Mae Wong dan Khao Sam Roi Yot, manakala di Indonesia lebih banyak tempat menarik seperti di Bali, Flores, Jawa dan Kalimantan.
Penyertaan Malaysia dalam Perkongsian Rangkaian Laluan Burung Hijrah Asia Timur-Australasia (EAAF) menunjukkan komitmen negara di peringkat antarabangsa dalam meningkatkan kepentingan dan peranan tanah lembap di Malaysia. Ia sekali gus melindungi habitat burung hijrah selain bagi mengelak kepupusan spesies burung air hijrah yang semakin terancam.
Rangkaian EAAF merupakan salah satu daripada sembilan laluan burung hijrah di dunia. Laluan ini melibatkan lebih 500 spesis burung hijrah melalui 22 negara kawasan timur Rusia dan Alaska menuju ke arah Selatan Asia Timur, Asia Tenggara, Australia dan New Zealand.
Malaysia menyertai Rakan Kongsi EAAF (EAAFP) pada 11 November 2012 dengan Bako Buntal Bay di Sarawak diiktiraf sebagai Tapak Rangkaian Laluan Terbang yang pertama di Malaysia pada 2013. Lebih 20,000 burung hijrah melalui Bako Bay setiap tahun.
Komitmen negara dan gerakan aktif NGO, meminta Malaysia menambah lagi Tapak Rangkaian Laluan Terbang. Terdapat beberapa kawasan strategik seperti Santuari Burung Laut di Kuala Gula di Perak; Teluk Air Tawar di Seberang Perai, Pulau Pinang dan Taman Alam Kuala Selangor di Selangor yang produktif untuk dicadangkan sebagai Tapak Rangkaian Laluan Terbang ataupun sebagai Tapak Ramsar.
Kawasan ini penting untuk burung hijrah pantai singgah dalam penerbangan ke selatan bagi mengelak dari kawasan sejuk melampau di utara hemisfera pada Oktober dan kembali ke kawasan pembiakan di utara dalam Mac setiap tahun.
Burung-burung ini perlu singgah untuk berehat dan makan bagi mendapatkan tenaga untuk meneruskan penerbangan yang jauh. Justeru itu, kawasan yang cukup produktif dari segi sumber makanan dan tempat berehat diperlukan.
Kawasan hutan bakau di persisiran pantai berlumpur yang kaya dengan organisma bentik menjadi makanan burung-burung hijrah pantai. Kawasan ini mestilah dilindungi daripada penerokaan haram dan pencemaran bahan kimia seperti racun serangga, logam berat, plastik dan minyak.
KEPENTINGAN KEPENGERUSIAN ASEAN
Sempena sambutan hari tanah lembap sedunia pada 2 Februari setiap tahun dan Kepengerusian ASEAN 2025, kerajaan Malaysia boleh memainkan peranan yang lebih untuk perlindungan dan pemuliharaan burung hijrah pantai.
Memandangkan semua negara ASEAN memberikan perhatian kepada ekosistem dan mempunyai tapak yang berkepentingan antarabangsa berkaitan tanah lembap, maka peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 ini boleh dijadikan peluang untuk membawa bersama komitmen negara-negara di serantau itu dalam mempromosi keutamaan tanah lembap untuk kepentingan hidupan liar dan sosioekonomi manusia serta kesejahteraan planet amnya.
Banyak perkara boleh dilakukan seperti mengaktifkan secara sistematik aktiviti seperti seminar atau bengkel, ekopelancongan, perkongsian strategi pemuliharaan seragam antara negara ASEAN serta lain-lain yang diselaraskan oleh satu sekretariat di bawah agensi kerajaan bersama NGO alam semula jadi, industri pelancongan dan lain-lain agensi berkaitan pemuliharaan juga perlindungan habitat semula jadi.
Di Malaysia, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam boleh menjadi sekretariat penyelarasan. Misalnya, setiap tahun pada Januari seluruh dunia menjalankan bancian berkaitan burung air termasuk burung hijrah pantai. Aktiviti berkala ini boleh diselaraskan secara rasmi oleh semua negara ASEAN merangkumi aktiviti bancian, perkongsian data dan menganjurkan seminar atau bengkel. Maklumat dikongsi untuk meningkatkan keberkesanan menguruskan habitat dan perlindungan burung hijrah pantai EAAF.
Kedudukan negara ASEAN dalam laluan EAAF, menjadikan serantau ini penting untuk burung berhijrah. Negara penting seperti Vietnam, Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina mempunyai kawasan khusus yang dipersetujui untuk di jadikan Tapak Rangkaian Laluan Terbang.
Rakan Kongsi EAAF ditubuhkan pada 2006 untuk melindungi burung hijrah dan habitat mereka. Lebih 50 juta burung hijrah pantai terbang melalui EAAF. Melalui EAAFP, semua negara ahli komited untuk melindungi habitat dan burung hijrah bersama agensi kerajaan, NGO dan pihak perusahaan antarabangsa. – UTUSAN
DR. Ahmad Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).










