KUALA LUMPUR: Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota Markas Angkatan Tentera Malaysia, Datuk Mohd. Nizam Jaffar dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Ke-23 berkuat kuasa semalam.
Beliau menggantikan Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman yang bersara wajib selepas berkhidmat hampir empat dekad bersama ATM.
Pelantikan itu dilihat memecah tradisi apabila menjadi PAT yang pertama bukan dalam kalangan Panglima Tentera Darat, Udara dan Laut sedia ada.
Ekoran itu Mohd. Nizam dinaikkan pangkat kepada Jeneral daripada Leftenan Jeneral bagi mengetuai ketiga-tiga cabang angkatan pertahanan tersebut.
“Pada hari ini secara rasminya, Panglima Angkatan Tentera Ke-22, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman menyerahkan tampuk pemerintahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaffar.
“Di atas komitmen dan kecemerlangan sepanjang menabur bakti dalam perkhidmatan, beliau diberi kepercayaan untuk menerajui ATM,” kata Kementerian Pertahanan dalam kenyataan akhbar semalam.
Terdahulu, Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Tentera Ke-23 berlangsung dengan disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan di sini.
Mohd. Nizam merupakan graduan Royal Military Academy Sandhurst, England dan berpengalaman luas bertugas serta mengikuti pelbagai di dalam serta luar negara.
Kerjaya ketenteraan beliau bermula sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) dan seterusnya dipertanggungjawabkan sebagai Juruiring (Aide-De-Camp) kepada Timbalan Panglima Tentera Darat dan Panglima Angkatan Tentera ketika itu, Jeneral Tan Sri Mohamed Hashim Mohd. Ali.
Atas dedikasi dan kewibawaan yang ditunjukkan sebagai Pegawai Kanan Tentera Darat, Mohd. Nizam diberi kepercayaan menjadi Juruiring kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Mohd. Nizam juga pernah memegang jawatan Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia, Ipoh dan Pengarah Pengurusan Latihan di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Port Dickson.
Sebelum menjawat jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, beliau merupakan Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Putrajaya.
Beliau juga merupakan graduan lulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari University of Nottingham dan dilantik sebagai Fellow Scholar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). – UTUSAN











