Wajibkan prasekolah perlu perancangan efektif

Wajibkan prasekolah perlu perancangan efektif

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan mewajibkan prasekolah perlu disertai dengan beberapa cadangan yang konstruktif dan berkesan. 

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, antara cadangan tersebut adalah memperbanyakkan program perguruan khusus untuk melahirkan lebih ramai guru prasekolah yang terlatih.

“Skim perkhidmatan Guru Prasekolah perlu diwujudkan sama ada dengan diinkorporasikan ke dalam Skim Perkhidmatan Guru sedia ada atau diwujudkan sebagai skim khas. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain itu, guru prasekolah juga perlu diberi peluang untuk mengikuti pendidikan dan latihan sepanjang hayat. Perancangan penanda aras di peringkat nasional dan antarabangsa juga harus dilaksanakan secara berterusan.

“Malah prasarana dan kelengkapan pengajaran serta pembelajaran (P&P) prasekolah perlu disediakan dengan lengkap serta dikemas kini dari semasa ke semasa mengikut piawaian yang dipersetujui negara. Bahan bacaan dan keperluan P&P juga harus dipelbagaikan serta dikemas kini secara berkala,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, cadangan mewajibkan pendidikan prasekolah merupakan antara langkah terbaik bagi mengatasi masalah pe­nguasaan kemahiran memba­ca, menulis dan mengira (3M) da­lam kalangan kanak-kanak.

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Kamariah Abu Bakar berkata, mewajibkan pendidikan prasekolah adalah salah satu langkah strategik dalam mengatasi masalah penguasaan 3M serta menyediakan asas kukuh untuk kejayaan akademik pada peringkat seterusnya.

Katanya, kepelbagaian aktiviti dan pendekatan yang digunakan di kelas memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna, sekali gus menyokong penguasaan 3M dengan lebih efektif.

“Contohnya, rutin harian seperti menyusun kasut turut mengajar kanak-kanak kemahiran memadankan objek, yang merupakan salah satu konsep Matematik yang penting. Selain itu, pendidikan peringkat prasekolah juga memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam menyokong perkembangan sosial, emosi, fizikal, serta pembentukan nilai dan peradaban kanak-kanak.

“Namun, kerelevanan mewajibkan pendidikan prasekolah juga tertakluk kepada ketersediaan akses kepada prasekolah yang berkualiti, tenaga pengajar yang berkelayakan, serta kurikulum yang sesuai dan berkesan untuk memastikan pembangunan holistik kanak-kanak.

“Justeru, bagi memastikan kewajaran mewajibkan pendidikan prasekolah, adalah kritikal untuk memastikan usaha yang konsisten dalam menyediakan guru yang terlatih dan kompeten dari aspek pedagogi serta perkembangan kanak-kanak, menyediakan prasekolah yang mencukupi dengan infrastruktur yang bersesuaian, serta memberi penekanan terhadap kualiti kurikulum pendidikan awal yang berkesan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini