Kembara berkereta musim salju di Jepun

Kembara berkereta musim salju di Jepun

BERGAMBAR di depan Historical Village, Sapporo yang mempamerkan perkampungan tradisional Jepun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengalaman ketika berkereta bersama keluarga menerokai Sapporo, Tokyo dan Osaka, Jepun pada penghujung tahun 2024, meninggalkan kenangan indah dan cukup mendebarkan.

Sapporo menjadi bandar pertama kami singgah selepas menempuh penerbangan selama tujuh jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Hujan salji yang lebat dengan suhu negatif empat darjah celcius menyambut ketibaan kami di rumah sewa untuk lima malam di Jozankeionsennishi Minami Ward.

Dikelilingi pergunungan, kawasan itu dilitupi salji tebal. Menginap di sini, kami tidak perlu pergi jauh untuk bermain salji.

Bukan sahaja pintu, halaman rumah penuh dengan salji tebal. Oleh kerana jam sudah menunjukkan pukul 7 malam, kami hanya berehat. Makan malam dengan nasi panas berlaukkan masak lemak cili padi telur, cukup membuka selera.

Keesokan paginya anak-anak kami bangun awal kerana sudah tidak sabar hendak keluar bermain salji di depan rumah. Tidak dinafikan salji di sini memang lebih halus berbanding di negara lain seperti Switzerland. Seronok dapat menyodok salji yang menebal.

Di Sapporo, kami juga bermain ski di Kokusai Ski Resort, meluncur lurah pergunungan memberikan pengalaman menyeronokkan walaupun tidak semahir orang tempatan.

Di Sapporo Maruyama Zoo, kami berpeluang melihat keletah penguin yang comel berlumba atau berarak. Ada yang garang apabila penguin lain cuba memotong barisan.

Restoran atau kedai makan halal terletak agak jauh dari tempat kami menginap. Harga makanan juga sangat mahal. Makan di bandar Sapporo untuk lapan orang boleh mencecah hampir  RM5,000. Di sini juga terdapat kedai Pakistan yang menjual beriyani.

Rugi jika tidak mencuba makanan laut di Hokkaido yang sememangnya terkenal segar dan enak. Kami sempat ke Sankaku Market di Otaru yang menjual makanan laut segar. Harganya pun tidak terlalu mahal iaitu sekitar RM1,000 untuk lapan orang.

Antaranya ketam berbulu yang direbus dan dimakan bersama sos soya dan nasi. Isinya yang segar terasa manis sebaik masuk ke mulut. Kami juga mencuba ikura iaitu telur salmon yang biasanya dihidangkan di atas sushi. Ia mempunyai rasa sedikit masin apabila digigit. Hidangan ini dihiasi dengan rumpai laut dan hirisan lemon.

Telur ketam yang dimasak dan berwarna sedikit kecoklatan cukup garing apabila dimakan. Ia dihidang di dalam cengkerang, terkenal kerana rasanya yang lemak. Ia juga dihidang di atas sushi atau dimakan begitu saja.

Selepas menghabiskan percutian selama enam hari di Sapporo, kami terbang ke Tokyo dan menerokai bandar berkenaan selama tiga hari. Di Tokyo kami menyewa pangsapuri yang saiznya terlalu kecil. Antara destinasi yang kami kunjungi di Tokyo ialah Disneyland dan Shibuya.

Bersiar-siar dengan kereta di sekitar Tokyo menelan kos yang agak tinggi kerana caj yang dikenakan untuk meletak kereta sahaja boleh mencecah lebih RM200 untuk sehari. Ini belum termasuk kos petrol. Bagaimanapun, sekiranya membawa keluarga yang ramai, ia jauh lebih menjimatkan berbanding menaiki kenderaan awam seperti teksi atau tren metro.

bergambar di depan perkampungan Geisha di Gion, Kyoto.

Tembusi berpuluh terowong ke Osaka

Selepas menghabiskan dua malam di Tokyo, kami bergerak ke Osaka. Kereta yang dipandu membelah Shin Tomei Expressways.

Osaka terletak lebih 400 kilometer (km) memerlukan kami memandu menembusi puluhan terowong yang membelah pergunungan. Sesetengahnya sangat panjang sehingga mencecah lima kilometer.

Keseluruhannya, Jepun mempunyai kira-kira 10,846 terowong yang dibina sejak tahun 1950-an. Panjang keseluruhan terowong di negara matahari terbit itu adalah sejauh 4,742km.

Kami menginap di rumah penginapan Kishinosato, di Nishinari Ward yang terletak di Selatan Osaka. Daerah ini memiliki tarikan budayanya yang tersendiri selain makanannya.

Berhampiran dengan Kobe yang memiliki ladang penternakan lembu wagyu. Anda boleh menikmati kelembutan daging wagyu segar yang dipanggang. Jangan risau kerana ada sijil halal selain harga berpatutan sekitar RM2,000 untuk sekeluarga.

Di sebelah malam, bandar ini disinari cahaya lampu beraneka warna daripada deretan kedai-kedai. Dotonbori terkenal sebagai kawasan hiburan dengan dilimpahi sinaran lampu neon sepanjang terusan.

Pelancong boleh menaiki go kart dengan harga AS$62 (RM275) dan mengelilingi jalan-jalan di tengah bandar.

Kami juga menghabiskan masa seharian ke Universal Studio, namun suasana sedikit sesak kerana cuti tahun baharu.

Hampir terkandas di Osaka

Ada satu peristiwa yang memberikan pengajaran kepada kami sekeluarga mengenai perbezaan budaya dan cara bekerja di negara orang dengan negara sendiri.

Kisahnya, kami bergerak meninggalkan Osaka dan menuju ke Tokyo pada awal pagi hari cuti umum sempena tahun baharu 2025.

Sebelum meneruskan perjalanan, kami menuju ke stesen minyak untuk mengisi petrol

Namun, semua stesen minyak yang kami singgah tutup. Kami sudah mula panik dan bimbang bagaimana hendak teruskan perjalanan sejauh lebih 400km?

Kemudian, kami ke balai polis berhampiran dan dimaklumkan perlu keluar dari Osaka kerana semua stesen minyak di bandar itu ditutup sempena cuti umum.

Polis berkenaan turut menghubungi sebuah stesen minyak di Nara dan nasib kami baik kerana terdapat stesen minyak layan diri yang dibuka di situ.

Rezeki kami dipertemukan dengan seorang lelaki tempatan yang baik hati menunjukkan kami jalan ke stesen berkenaan. Lelaki berusia lingkungan 70-an itu fasih berbahasa Inggeris dan memudahkan perbualan.

Kami terus menarik nafas lega kerana dia menawarkan diri menaiki kereta kami untuk menunjukkan stesen berkenaan. Sampai di stesen berkenaan, ia agak besar tetapi sunyi. Hanya ada empat pam layan diri.

Usai mengisi minyak, kami menghantar lelaki berkenaan pulang ke rumah walaupun pada awalnya dia berkeras hendak pulang sendiri. Malangnya kami tidak sempat bertanya namanya kerana situasi cemas ketika itu

Akhirnya, kami bersyukur kerana berjaya meneruskan perjalanan ke Tokyo dengan tenang. Perjalanan juga lancar kerana tidak banyak kenderaan sepanjang jalan.-UTUSANhttp://utusan.com.my

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×