Pesakit makin bertambah, doktor, jururawat kurang

Pesakit makin bertambah, doktor, jururawat kurang

HARGA insurans yang semakin meningkat menyebabkan orang ramai terpaksa bergantung kepada hospital kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hospital kerajaan sekarang semakin sesak apabila pesakit kian bertambah, manakala doktor dan jururawat pula berkurangan.

Faktor tersebut menyebabkan ramai pesakit terpaksa menunggu lama sehingga 15 jam bagi mendapatkan rawatan.

Malah, kebanyakan hospital kerajaan masih kekal dengan jumlah katil yang sama sehingga menyebabkan ia sentiasa penuh dan menyukarkan pesakit baharu dimasukkan ke wad.

Jurucakap Hartal Doktor Kontrak (HDK) berkata, situasi itu sudah menjadi kebiasaan di hospital kerajaan bahkan ada kes pesakit terpaksa menunggu sehingga 24 jam di Unit Kecemasan untuk mendapatkan ra­watan.

Katanya, kerajaan perlu cari jalan untuk mengurangkan jumlah doktor dan jururawat yang keluar menyertai sektor swasta sama ada di dalam atau luar negara.

“Mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan pemberian elaun lebih tinggi dan kurangkan jumlah waktu bekerja.

“Jangan terlalu terikat de­ngan waktu kerja 45 jam seminggu kerana ia amat membebankan dan akan mengakibatkan lebih ramai lagi golongan jururawat keluar meninggalkan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, beliau berkata, antara punca yang turut mendorong kepada kesesakan itu adalah disebabkan harga insurans yang semakin meningkat sehinggakan orang ramai terpaksa bergantung kepada hospital kerajaan.

“Mereka tiada pilihan lain, jadi terpaksa bergantung kepada hospital kerajaan kerana lebih murah. Peningkatan kadar insurans ini menyukarkan rakyat untuk mendapatkan perlindungan kesihatan,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan isu kesesakan di hospital kerajaan di sekitar Lembah Klang semakin ‘tenat’ apabila ada pesakit terpaksa menunggu sehingga 15 jam sebelum dimasukkan ke wad untuk menerima rawatan.

Keadaan itu cukup merungsingkan apabila pada tahun lalu, penduduk di Lembah Klang dianggarkan meningkat kepada 8.8 juta orang berbanding 7.5 juta pada tahun 2018 hingga menimbulkan persoalan kemampuan hospital kerajaan menampung jumlah pesakit yang semakin tinggi.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am, Dr. Hanafiah Bashirun berkata, sikap pesakit yang sering kali ‘membanjiri’ unit kecemasan di hospital kerajaan walaupun hanya mengalami demam ringan turut menyumbang kepada kesesakan.

Sedangkan, katanya, sakit yang lebih ringan seperti demam boleh dirawat di klinik kerajaan atau swasta sahaja.

“Perlu tahu bahawa unit kecemasan apabila menerima pesakit akan membahagikan kepada tiga tahap merah, jingga dan hijau. Kebanyakan yang menunggu lama ini adalah mereka yang dikategorikan sebagai hijau kerana perhatian perlu diberikan kepada pesakit merah dan jingga,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kebanyakan hospital kerajaan masih dengan jumlah katil sama seperti beberapa tahun kebelakang sedangkan populasi penduduk bertambah dan pesakit meningkat.

“Jika doktor mahu pun jururawat ramai sekali pun, sukar untuk mereka memberikan rawatan kerana kemudahan tidak mencukupi. Ini juga perlu diberikan perhatian oleh kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×