BAGAN DATUK: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah menggerakkan aset-aset ke 13 kawasan banjir yang kritikal di Sabah dan Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Monsun Timur Laut (MTL) di Semenanjung Malaysia kini berpindah ke Sabah serta Sarawak dan ia hanya akan berakhir pada Mac ini.
“Nadma kini berada di Sarawak dan mesyuarat koordinasi telah dilakukan antara jawatankuasa bencana negara dan peringkat negeri.
“Aset-aset telah dimobilisasikan ke tempat yang sedang mengalami bencana banjir iaitu di 13 kawasan yang sangat memerlukan,” katanya kepada selepas menghadiri Sambutan Tahun Baru Cina bersama keluarga angkatnya, Beh Song Wan dan Sesi Ramah Mesra serta Taklimat Projek Pembinaan Bangunan Sekolah Menengah Imtiyaz Tuminah Hamidi.
Dalam pada itu, katanya, jumlah taburan hujan di Sarawak dilapor lebih berbanding biasa dan berharap Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dapat memberikan maklumat terkini segera kepada mangsa banjir.
Tambahnya, prosedur operasi standard (SOP) pemindahan mangsa banjir adalah tiga hari sebelum berlakunya luruan hujan luar biasa dan fenomena air pasang besar.
Ahmad Zahid memaklumkan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan membina semula jambatan yang runtuh ekoran bencana itu dalam tempoh 72 jam selepas kajian terperinci mengenai kesesuaian muka bumi untuk didirikan jambatan Bailey. – UTUSAN










