Mengimbas kembali memori ketika pulang bercuti di kampung baru-baru ini, seorang jiran menghulurkan satu plastik buah-buahan yang sudah lama tidak dilihat dan dimakan.
Namanya tidak lagi dapat disebut apatah lagi rasa dan tekstur buah tersebut juga tidak dapat diingati.
Nama buah kiat rupanya semakin hilang di ingatan bagi generasi yang lahir pada 80-an, apatah lagi untuk dikenali oleh generasi muda pada hari ini.
Inilah nasib yang akan terjadi kepada tumbuhan arboretum atau pokok nadir sekiranya pada hari ini tiada usaha untuk menanam semula dan memelihara tumbuhan tersebut.
Pada hari ini, tumbuhan arboretum telah ditanam semula sebagai satu koleksi pokok nadir yang dipelihara dalam kawasan khas untuk tujuan kajian saintifik, pendidikan, konservasi dan demonstrasi oleh pihak yang bertanggungjawab.
Langkah tersebut memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem dan kesihatan manusia kerana terdapat ancaman terhadap kehilangan habitat dan aktiviti eksploitasi hutan yang boleh menyebabkan kepupusan.
Bayangkan sekiranya tiada usaha konservasi pusat arboretum tersebut, sudah pasti generasi akan datang tidak mengenali pokok-pokok nadir dan tidak dapat memanfaatkan kelebihannya terutama sekali manfaat kesihatan dan kesejahteraan.
Tumbuhan arboretum seperti herba dan pokok buah-buahan sering menjadi sebahagian daripada perubatan tradisional seperti pokok cermai, kemenyan, mengkudu, tongkat ali, cekur, kacip fatimah, lempoyang, pokok gelam dan lain- lain.
PENANAMAN SEMULA
Pemeliharaan dan penanaman semula tumbuhan nadir ini bukan sahaja membantu melestarikan warisan perubatan tradisional tetapi juga memastikan generasi baharu dapat terus menikmati manfaat kesihatan yang ditawarkan.
Selain nilai perubatan yang dapat diperolehi, penanaman semula dapat mengekalkan biodiversiti melalui peningkatan penyerapan karbon dioksida, nitrogen dioksida dan sulfur dioksida yang mencemari persekitaran serta sebagai penapis semula jadi bahan pencemar dan debu.
Ini membantu meningkatkan kualiti udara terutamanya di kawasan bandar yang sering tercemar.
Penanaman pokok-pokok nadir memberi impak kepada alam sekitar melalui pengurangan jejak karbon seterusnya dapat mengurangkan pemanasan global.
Oleh kerana landskap semula jadi persekitaran di bandar amat terhad, maka ruang arboretum yang mampu menyumbang kepada kesihatan dan kesejahteraan masyarakat harus dimanfaatkan secara maksimum.
Usaha pemulihan tersebut perlu dilakukan secara berterusan untuk mempromosikan kesihatan dan meningkatkan kesedaran masyarakat awam tentang kepentingan pokok-pokok nadir yang ditanam semula dan dipelihara kelangsungannya.
Menyelitkan penanaman arboretum ke dalam perancangan bandar juga boleh meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat sambil memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang penjagaan alam sekitar.
Pokok-pokok nadir yang hampir pupus pada hari ini sepatutnya ditanam semula bukan hanya di kawasan yang dikhaskan tetapi juga mungkin boleh ditanam di tepi jalan atau kawasan perumahan yang seringkali ditanam dengan pokok hiasan lain.
Pihak pemaju, perancang bandar dan pihak berkuasa tempatan perlu mengambil perhatian terhadap hal ini dan mengambil inisiatif untuk mengusahakannya.
Selain menghijaukan kawasan sekitar, tumbuhan tersebut menjadi sumber makanan dan manfaatnya juga dapat diperolehi oleh masyarakat setempat.
Selain itu, kerjasama antara komuniti tempatan dan pengurusan arboretum boleh meningkatkan kesedaran awam tentang alam sekitar, menjamin kedaulatan makanan setempat seterusnya memastikan program-program kesedaran dapat disesuaikan untuk menangani cabaran alam sekitar yang semakin meruncing pada hari ini.
Justeru, penglibatan komuniti yang lebih besar amat penting untuk mengukuhkan komitmen terhadap kesihatan diri dan kemampanan alam sekitar dalam menghadapi urbanisasi yang pesat.
KESIHATAN MENTAL
Persekitaran hijau seperti tumbuhan arboretum dapat mengurangkan stres, kemurungan dan tekanan mental.
Berinteraksi dengan alam semula jadi dapat membantu menenangkan minda, meningkatkan fokus dan menyumbang kepada kesejahteraan psikologi. Kini, ramai yang menggunakan pendekatan terapi alam semula jadi sebagai usaha meningkatkan kualiti kesihatan yang lebih baik.
Walaupun manfaat pokok nadir amat signifikan dalam kehidupan masyarakat, kesedaran terhadap kepentingannya masih kurang dan perlu ditingkatkan.
Justeru, langkah dan inisiatif ke arah meningkatkan kesedaran masyarakat perlu dilaksanakan dan dilestarikan untuk melindungi dan memanfaatkan tumbuhan arboretum demi kebaikan generasi kini dan akan datang.
Program pendidikan awal alam sekitar perlu diperkenal di peringkat sekolah rendah dan menengah melalui pelbagai aktiviti seperti lawatan ke arboretum, bengkel penanaman pokok serta pengenalan kepada sains ekologi.
Pendekatan ini dapat membantu generasi muda memahami kepentingan tumbuhan dan peranannya dalam kehidupan.
Media sosial, televisyen, dan radio berperanan sebagai platform untuk menyebarkan maklumat tentang tumbuhan arboretum bahkan komuniti setempat juga boleh menganjurkan acara seperti Hari Arboretum atau program sukarela penanaman pokok.
Institusi seperti universiti, taman botani dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama menjalankan penyelidikan, seminar dan pameran berkaitan pokok nadir. Ia bukan sahaja meningkatkan kesedaran awam tetapi membuka peluang kepada masyarakat untuk turut serta dalam usaha konservasi.
Penggunaan teknologi seperti AI boleh dimanfaatkan dengan pembangunan aplikasi mudah alih untuk memaparkan maklumat tentang spesies pokok arboretum dan manfaat kesihatan.
Tumbuhan arboretum bukan sahaja aset ekologi tetapi juga penawar untuk pelbagai isu kesihatan moden.-UTUSAN
Penulis adalah Felo, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)










