Tahun ini, sekali lagi kita menyambut Hari Pekerja dalam suasana yang cukup berbeza apabila dunia masih dicengkam ancaman pandemik Covid-19. Ironinya, wabak ini turut memberi impak besar kepada hampir semua jenis sektor pekerjaan di dunia, termasuk di negara kita. Jelas sekali para pekerja sedang berhadapan dengan cabaran yang begitu besar dalam era wabak Covid-19 ini.
Sepatutnya 1 Mei menjadi tarikh keramat kebanggaan semua pekerja, namun sejak tahun lepas kehadiran tarikh ini terus menimbulkan persoalan, berapa ramai yang telah diberhentikan kerja dan terpaksa menganggur? Walaupun data pada Februari menunjukkan kadar pengangguran berkurangan 0.1 mata peratus berbanding Januari, namun hakikatnya masih ramai terpaksa menganggur disebabkan krisis ekonomi yang dicetuskan oleh pandemik. Misalnya, Jabatan Perangkaan merekodkan pengangguran di negara ini mencecah 777,500 orang, manakala statistik www.jobsmalaysia.gov menunjukkan 174,327 pemohon pekerjaan adalah dalam kalangan siswazah. Maka, jujurnya sektor pekerjaan agak suram sejak tahun lepas, lantas sambutan Hari Pekerja umpama tiada sebarang makna kepada mereka yang hilang pekerjaan dan sedang menganggur.
Secara prinsipnya pada hari ini, yang sedang bekerja pun belum tentu terjamin masa depan dan kedudukan kerja mereka kerana kita masih bergelut untuk pulih daripada serangan wabak ke atas ekonomi negara. Jadi, baik yang sedang menganggur mahupun sedang bekerja terus berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan tentang masa depan kerjaya masing-masing.
Bagi yang telah diberhentikan kerja dan graduan baharu, cabaran mereka ialah bilangan peluang pekerjaan yang masih sangat terhad. Kita akui beberapa inisiatif kerajaan seperti Program Subsidi Upah serta Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan berjaya memberikan sinar harapan kepada golongan pekerja dan penganggur, namun secara umumnya masih ramai yang menganggur. Harus diingat, mereka yang hilang pekerjaan terputus pendapatan secara total dan sedang bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup. Bayangkan nasib sebuah keluarga yang ketua keluarganya hilang sumber pendapatan. Bagaimana dengan urusan makan dan minum keluarga tersebut, di samping nasib persekolahan anak-anak? Cukup tragis dan menyedihkan.
KOS
Pada masa sama, para majikan pula lebih berhati-hati dalam membuka peluang pekerjaan baharu kerana keadaan ekonomi sangat tidak menentu yang menyebabkan mereka terpaksa mencari jalan untuk mengurangkan kos operasi dan antaranya adalah melalui pengurangan jumlah pekerja.
Bagi graduan baharu pula, jumlah pekerjaan yang terhad dan sedikit berbanding bilangan graduan yang ramai menjadikan situasi tidak memihak kepada mereka. Ironinya pada hari ini majikan mempunyai banyak pilihan, malah kita juga bukan lagi berada di zaman kerja mencari graduan. Keadaan bertambah parah apabila graduan ini terpaksa bersaing pula dengan pekerja yang telah diberhentikan kerja yang sudah tentu ada kelebihan dari segi pengalaman dan kemahiran. Ringkasnya, majoriti majikan akan memilih pekerja yang sudah ada pengalaman dan kemahiran agar dapat menjimatkan kos latihan mereka.
Lain pula cabaran yang sedang dihadapi oleh golongan yang sedang bekerja. Letusan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) serta perkembagan teknologi dan internet kebendaan (IoT) yang pesat mula menghantui golongan pekerja. Misalnya, Bank Dunia menjangkakan separuh daripada pekerjaan di Malaysia bakal digantikan dengan automasi dalam jangka masa panjang. Perubahan dalam sektor pekerjaan ketika ini tidak dapat dielakkan kerana digital dan automasi akan menjadi elemen penting. Antara pekerjaan yang berisiko tinggi untuk beralih kepada automasi sepenuhnya adalah akauntan, operator mesin dan perkilangan, juruteknik kejuruteraan elektronik, juruteknik penerbangan dan juruteknik kejuruteraan elektrik.
SOSIOEMOSI
Hakikatnya, kita tidak boleh menafikan fakta betapa sudah terdapat teknologi yang membuktikan mampu menggantikan pekerjaan yang sebelum ini dilaksanakan oleh manusia. Akibatnya, kebanyakan majikan kini meningkatkan keperluan untuk mendapatkan pekerja yang mempunyai kemahiran dalam digital dan teknologi terkini. Jadi, cabaran terbesar kepada golongan pekerja ialah jika mahu terus bekerja dan kekal relevan, maka perlu berubah dan melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh majikan.
Justeru, selain digital, elemen lain yang perlu dipertingkatkan oleh pekerja adalah beberapa kemahiran lain seperti sosioemosi, kemahiran berfikir kreatif selain mampu berdikari untuk melaksanakan pekerjaan. Jelas, nasib golongan pekerja terutama pasca Covid-19 cukup membimbangkan. Masing-masing sudah mula mencongak masa depan, apakah majikan akan terus menggaji atau akan memberhentikan mereka?
Tuntasnya, baik yang sedang mencari kerja atau yang sedang bekerja, kita sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan. Cabaran semakin kompleks, tiada jaminan yang menganggur akan segera dapat kerja, begitu juga tiada jaminan yang sedang bekerja tidak akan diberhentikan. Justeru, apa yang penting sekarang ialah kita perlu bersedia untuk mengharungi segala cabaran dengan cekal dan tabah sekali gus segera menyesuaikan diri agar tidak terus ketinggalan. Hakikatnya, kehidupan perlu diteruskan dengan apa jua cara sekalipun. Semoga tarikh keramat 1 Mei tahun ini dapat mencetuskan gelombang dan semangat baharu untuk kita bangkit mencipta masa depan yang lebih cemerlang untuk diri dan keluarga.
Selamat menyambut Hari Pekerja.
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.










