DeepSeek gegar pasaran saham dunia

DeepSeek gegar pasaran saham dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat pemula dari China, DeepSeek mengegarkan pasaran saham global dengan pelancaran model kecerdasan buatan (AI) terbaharunya, susulan penjualan besar-besaran saham teknologi di Wall Street yang melenyapkan AS$1 trilion (RM4.4 trilion) nilai pasaran.

Pembuat cip Nvidia, yang menunggang gelombang AI tahun lepas untuk menjadi syarikat terkaya di dunia, menjunam hampir 17 peratus, susut nilai AS$589 bilion (RM2.59 trilion) dalam kejatuhan satu hari terbesar dalam sejarah pasaran.

Menurut laporan Reuters, minggu lalu, DeepSeek, melancarkan pembantu AI percuma yang dikatakan menggunakan data yang lebih sedikit pada kos yang jauh lebih rendah berbanding perkhidmatan sedia ada.

Aplikasi itu telah mengatasi pesaing dari Amerika Syarikat (AS), ChatGPT, dalam jumlah muat turun dari kedai aplikasi Apple.

Ia menyebabkan Nasdaq, yang banyak dipengaruhi oleh saham teknologi, jatuh 3.1 peratus pada Isnin.

Nvidia menjadi penyumbang terbesar kemerosotan Nasdaq, dengan sahamnya menjunam hampir 17 peratus, mencatat kerugian nilai pasaran sehari terbesar bagi saham Wall Street, menurut data LSEG.

DeepSeek mendakwa, ia hanya mengambil masa dua bulan dan kos di bawah AS$6 juta (RM26.4 juta) untuk membina model AI menggunakan cip H800 yang kurang canggih Nvidia.

Syarikat pemula yang diasaskan pada 2023 berkata, model AI miliknya sama ada sepadan atau mengatasi pesaing utama AS pada kos yang lebih kecil, mencabar pandangan bahawa penskalaan AI memerlukan kuasa pengkomputeran dan pelaburan yang besar.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, penjualan besar-besaran saham industri teknologi ini dilihat sebagai satu pembetulan berkaitan industri itu yang selama ini dinilai begitu tinggi.

“Pelabur melihat ada pemain AI yang mampu untuk keluarkan teknologi tersebut pada kos yang lebih rendah daripada pesaing dalam industri sedia ada. Sebelum ini, saham-saham pemain industri tersebut adalah agak mahal. 

“Sekarang mereka menilai semula dari segi premium yang dibayar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas sama ada perkembangan tersebut akan memberi kesan kepada pasaran saham tempatan, beliau mengakui bahawa sektor semikonduktor akan terlibat secara langsung dari segi sentimen pasaran.

“Tapi dari segi keperluan dalam ekonomi, ia (semikonduktor) masih relevan dan diperlukan. Apa sahaja yang beri kesan pada prospek keuntungan akan beri kesan.

“Dalam masa terdekat ini, saham syarikat teknologi akan diniagakan dalam mod berhati-hati. Pelabur akan melihat keputusan tahun kewangan 2024 syarikat teknologi seperti Google dan Microsoft yang akan diumumkan tidak lama lagi.

“Semasa pengumuman tersebut, mereka akan memberitahu prospek untuk suku terbaharu dan seterusnya,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×