Tulisan Jawi di kanvas modenisasi Malaysia

Tulisan Jawi di kanvas modenisasi Malaysia

PEMERKASAAN tulisan Jawi bukanlah sekadar usaha untuk mempertahankan satu bentuk tulisan, tetapi juga untuk melindungi warisan budaya yang menjadi identiti negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TULISAN Jawi merupakan salah satu warisan budaya yang tidak ternilai dalam sejarah peradaban Melayu. Ia bukan sahaja menjadi medium utama dalam penyebaran ilmu dan agama Islam pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu, tetapi juga mencerminkan identiti bangsa yang kukuh.

Dalam konteks Malaysia, tulisan Jawi pernah menjadi tulisan rasmi yang digunakan dalam urusan pentadbiran, pendidikan dan komunikasi harian sehingga 1940-an sebelum tulisan rumi diperkenalkan.

Sebagai contoh, penggunaan tulisan Jawi dapat dilihat dalam dokumen-dokumen rasmi lama seperti surat perjanjian, hikayat, serta catatan sejarah seperti Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu. Tulisan ini bukan sahaja berfungsi sebagai alat komunikasi, tetapi turut menjadi simbol kebanggaan identiti bangsa.

Selain itu, tulisan Jawi juga lambang identiti bangsa Melayu yang tidak dapat dipisahkan daripada sejarah dan tradisi nusantara. Melalui tulisan Jawi, generasi muda dapat memahami akar budaya mereka, sekali gus membangkitkan rasa bangga terhadap warisan nenek moyang. Sesungguhnya, usaha memartabatkan tulisan Jawi bukan sekadar melindungi tulisan itu sendiri, tetapi juga memperkukuh semangat cinta akan budaya dan jati diri kebangsaan.

Dalam konteks Islam, tulisan Jawi memainkan peranan penting sebagai medium untuk menyampaikan ilmu agama. Kitab seperti Kitab Sabilal Muhtadin, karangan ulama Syeikh Muhammad Arsyad Abdullah Al-Banjar dan Kitab Hidayah Al-Salikin, hasil karya Tuan Syeikh Abdu Al-Shamad Al-Falimbani antara manuskrip lama yang ditulis dalam tulisan Jawi.

Manuskrip-manuskrip ini mengandungi khazanah ilmu fiqh, tasawuf dan akidah yang bernilai tinggi serta masih menjadi rujukan hingga ke hari ini. Oleh itu, dengan menguasai tulisan Jawi, umat Islam di Malaysia dapat mendalami ajaran agama secara langsung daripada sumber asli.

Walau bagaimanapun, jika ditelusuri, tulisan Jawi bukan sahaja milik orang Melayu, tetapi juga pernah digunakan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia pada masa lalu. Dengan mempromosikan tulisan Jawi sebagai sebahagian daripada warisan bersama, ia boleh menjadi simbol perpaduan yang merentasi batasan kaum dan agama.

Tidak dapat dinafikan, inisiatif ini dapat memperkukuh integrasi nasional dalam masyarakat yang berbilang budaya. Pihak kerajaan juga menggerakkan Inisiatif Harmoni Madani sepanjang tahun lalu yang memberi fokus dalam meningkatkan kefahaman masyarakat berkaitan diversiti agama, budaya serta adat untuk membina semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat Malaysia.

Ramai tokoh memainkan peranan dalam memartabatkan tulisan Jawi. Antaranya, Tan Sri Dr. Awang Sariyan, seorang tokoh bahasa yang aktif mempromosikan penggunaan tulisan Jawi melalui pendidikan dan penyelidikan. Beliau merupakan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menggerakkan inisiatif-inisiatif dalam memperkukuh tulisan Jawi sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara.

Selain itu, Datuk Dr. Hassan Ahmad, yang juga bekas Ketua Pengarah DBP, lantang memperjuangkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi sebagai identiti kebangsaan. Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdullah Hassan pula merupakan seorang ahli akademik yang memperjuangkan pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi di institusi pendidikan serta penyelidikan tentang penggunaannya dalam manuskrip lama.

GUNA TEKNOLOGI
Salah satu cabaran terbesar dalam memartabatkan tulisan Jawi ialah persepsi ia sukar dipelajari dan kurang relevan dalam kehidupan moden. Tidak dapat dinafikan, generasi muda lebih cenderung kepada teknologi digital yang menggunakan tulisan rumi atau bahasa Inggeris, menyebabkan tulisan Jawi semakin dipinggirkan.

Sumber pembelajaran tulisan Jawi yang terhad serta kekurangan pakar rujuk yang mahir menjadi halangan kepada usaha memperkenalkannya secara meluas. Kebanyakan sekolah tidak mempunyai tenaga pengajar yang cukup untuk mengajar tulisan Jawi dengan efektif, terutama di kawasan bandar.

Langkah pertama untuk memartabatkannya dengan mengintegrasikannya ke dalam sistem pendidikan melalui pendekatan kreatif dan inovatif.

Teknologi moden juga boleh digunakan untuk mempopularkan dan memartabatkan tulisan Jawi. Aplikasi seperti Belajar Mengeja Jawi, Tulis Jawi dan platform eJawi Makmur dibangunkan bagi membantu pengguna mempelajari asas tulisan Jawi.

Kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu berganding bahu untuk melaksanakan program kesedaran dan aktiviti masyarakat yang mempromosikan tulisan Jawi. Di Malaysia, Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK) dan Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Selangor (PENJAWIS) aktif memartabatkan tulisan Jawi melalui pelbagai bengkel, forum, pertandingan dan pameran seni khat.

Selain itu, dana khas boleh diperuntukkan untuk membangunkan bahan pembelajaran dan latihan bagi tenaga pengajar.

Seterusnya, tulisan Jawi perlu diperkenalkan secara meluas dalam kehidupan harian. Papan tanda, bahan pemasaran dan dokumen rasmi boleh menggunakan tulisan Jawi bersama tulisan rumi. Kelantan dan Terengganu memperkenalkan papan tanda jalan dan premis dalam tulisan Jawi, menunjukkan komitmen mereka dalam memartabatkan tulisan ini. Justeru, langkah ini bukan sahaja mampu mempromosikan tulisan Jawi tetapi juga meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penggunaannya.

Terdapat beberapa kesan besar jika tulisan Jawi lupus daripada Malaysia. Pertamanya, menyebabkan pemutusan generasi baharu dengan sejarah dan budaya bangsa di Malaysia. Manuskrip lama dan dokumen sejarah yang ditulis dalam Jawi mungkin tidak dapat difahami dan dikaji, sekali gus menjadikan generasi muda jauh daripada warisan mereka sendiri.

Kedua, akan melemahkan identiti nasional Malaysia, terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu. Tulisan Jawi merupakan simbol budaya yang menghubungkan rakyat kepada akar umbi mereka dan ketiadaannya akan menyebabkan kekosongan dalam semangat kebangsaan.

Ketiga, aspek ilmu pengetahuan agama Islam juga akan terkesan. Banyak kitab lama dan sumber ilmu Islam yang penting ditulis dalam Jawi. Tanpa kemampuan membaca Jawi, masyarakat mungkin kehilangan akses sumber ilmu ini lalu menyebabkan jurang dalam pemahaman agama dan nilai keilmuan.

Pemerkasaan tulisan Jawi bukanlah sekadar usaha untuk mempertahankan satu bentuk tulisan, tetapi juga untuk melindungi warisan budaya yang menjadi identiti negara. Dengan kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan, institusi pendidikan, NGO dan masyarakat, tulisan Jawi boleh terus hidup dan kekal relevan dalam era moden.

Sebagai bangsa yang menghargai sejarah dan budaya, rakyat Malaysia harus menyedari tulisan ini adalah aset yang tidak ternilai. Melalui pendidikan, penggunaan teknologi dan dalam rutin harian, kita dapat memastikan tulisan ini kekal sebagai lambang kebanggaan dan simbol perpaduan negara.
Masa depan tulisan Jawi berada di tangan kita. Tanggungjawab ini perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan komitmen.-UTUSAN

PENULIS ialah Penolong Pendaftar Kanan Institut Pemikiran & Kepimpinan Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×