PULANGNYA dari lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta sesi Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat Malaysia menyiapkan diri bagi menghadapi ketidaktentuan global.
Apakah ketidaktentuan hanya dijangka melanda dalam soal ekonomi sahaja? Bagaimana landskap politik luar dan dalam negara?
Rakyat Malaysia menyaksikan suasana yang luar biasa, yang tidak pernah berlaku dalam landskap politik tanah air pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). PRU itu yang berlangsung pada 19 November 2022 menimbulkan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti politik memenangi jumlah kerusi terbanyak dalam Parlimen untuk menubuhkan kerajaan. Situasi ini menimbulkan dilema dalam kalangan ahli Parlimen terutama dalam melantik perdana menteri dan seterusnya membentuk kerajaan.
Namun, Yang di-Pertuan Agong melantik perdana menteri mengikut budi bicaranya, bersandarkan kuasa baginda yang termaktub dalam Perkara 40 (2) (a) dan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Malaysia telah melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kerana pada hematnya, beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Suasana Parlimen tergantung menyebabkan penganalisis politik membuat analisa terhadap keputusan, pola pengundian serta sokongan pengundi pelbagai kaum terhadap parti-parti yang bertanding.
Menurut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hanya 15,517,490 pengundi keluar mengundi (74.71 peratus) daripada 21,173, 638 pengundi yang layak. Keputusannya, Gabungan Pakatan Harapan (PH) menang 82 kerusi Parlimen dengan undi popularnya 38 peratus berbanding dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) memperoleh 74 kerusi dengan undi popular 31 peratus. Manakala Barisan Nasional (BN) hanya mampu memenangi 30 kerusi.
Keputusan tersebut jelas menunjukkan perubahan drastik dalam pola sokongan dan pengundian. Mengikut analisa peralihan sokongan pengundi pada PRU15 kepada parti-parti politik, didapati sokongan terhadap PH dan BN merosot manakala sokongan terhadap PN meningkat berbanding dengan pilihan raya sebelumnya.
BN menerima 60 peratus undi Melayu, India (30 peratus) dan Cina (7 peratus) pada PRU15. PN menerima 33 peratus undi Melayu, Cina (6 peratus) dan India (8 peratus). Manakala, PH menerima hanya 5 peratus undi Melayu, India (60 peratus) dan Cina (81 peratus). Undi Cina kepada PH adalah amat memberangsangkan.
Selain itu, BN kehilangan sokongan di kawasan luar bandar yang umumnya menjadi benteng kepada BN sejak PRU yang pertama kali diadakan. Disebaliknya, PN berjaya meluaskan dan meningkatnya pengaruhnya di kawasan luar bandar terutamanya di Pantai Timur dan Utara.
Keputusan PRU15 jelas menunjukkan timbul fenomena Pedersen, iaitu indeks peralihan sokongan pengundi kepada parti-parti bertanding amat nyata malah memberi impak yang signifikan. Soalannya, apakah kadar peralihan sokongan ini akan kekal atau berubah pada PRU16?
PERUBAHAN DRASTIK
Kebelakangan ini perubahan yang drastik dikesan berlaku dalam cita rasa pengundi di kebanyakan negara. Dengan itu, faktor-faktor yang mendorong perubahan itu menjadi fokus kajian kebelakangan ini. Kajian mendapati neurosains yang melibatkan emosi memainkan peranan penting dalam mendorong seseorang membuat keputusan untuk mengundi calon dan parti di negara-negara Barat.
Sebagai contoh, bekas Perdana Menteri, Rishi Sunak di United Kingdom (UK) yang memimpin parti Konservatif, parti yang memerintah hampir 14 tahun dengan selesanya menghadapi kekalahan teruk kepada Parti Buruh pada tahun lalu. Parti Konservatif hilang 250 kerusi manakala Parti Buruh menambah 174 kerusi di Parlimen.
Di Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mewakili parti Republikan dilantik sebagai Presiden yang ke-47 dengan memenangi 312 undi elektoral dan undi popular sebanyak 49. 8 peratus. Manakala Kamala Harris yang mewakili parti Demokrat memenangi 226 undi elektoral dengan undi popular 48.3 peratus. Undi populariti antara kedua-dua parti adalah tipis, namun yang penting adalah siapa dapat bilangan lebih banyak kerusi elektoral.
Keputusan pilihan raya kedua-dua negara itu yang dianggap sebagai pelopor sistem kerajaan demokrasi menjadi fokus kajian mengenai penyampaian mesej kepada pengundi yang menjadi faktor kemenangan atau kekalahan kepada calon popular.
Kajian menunjukkan faktor neurosains memainkan peranan penting dalam mengalih pola sokongan pengundi di kedua-dua negara tersebut. Mesej-mesej politik yang disediakan Rishi Sunak terhadap Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) kurang melegakan kebimbangan dalam kalangan warga UK terhadap keselamatan kesihatan. Sebahagian besar pengundi marah dan gusar terhadap kepimpinan parti Konservatif kerana dasar parti itu terhadap dasar NHS.
Isu NHS ini menimbulkan kegusaran dan perasaan marah dalam pemikiran pengundi, terutamanya pengundi dewasa, melibatkan bahagian otak yang dirujuk sebagai Dorsolateral prefrontal cortex (DLPFC). Bahagian ini memainkan peranan penaakulan dan membuat keputusan. Pengundi jarang menggerakkan rangsangan dalam Ventromedial prefrontal cortex (VMPFC) yang memainkan peranan menilai dengan etika semasa pilihan raya.
Disebaliknya, Trump menyediakan mesej dengan slogan yang menyentuh hati seperti ‘Make America Great Again’, ‘America First’ dan ‘Make America Healthy Again’. Slogan-slogan ini menimbulkan rangsangan perasaan kebahagian dan keselesaan hidup dalam bahagian otak yang dirujuk sebagai Anterior Cingulate Cortex (ACC). Mesej yang sampai kepada ACC menimbulkan rangsangan perasaan kebanggaan sebagai seorang warga AS yang tulen dalam kalangan sebahagian besar warga dewasa.
Memandangkan faktor yang mempengaruhi seseorang pengundi membuat keputusan dalam pilihan raya didorong perasaan kemarahan, ketakutan dan emosi, bukan perbincangan rasional, maka penyediaan mesej-mesej kempen pilihan raya hendaklah mengambil kira peranan neurosains sosial dalam meraih sokongan pengundi.
Sehubungan ini, memahami dan menghayati peranan neurosains dijangka akan membantu parti dan calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya pada masa-masa akan datang dalam menyediakan mesej politik yang menarik, terutamanya mesej yang ditujukan kepada pengundi India yang bakal merupakan penentu pada PRU16.-UTUSAN
Datuk M. Periasamy ialah penganalisis sosial politik.










