Bersediakah pendidik di IPT berdepan Generasi Alpha?

Bersediakah pendidik di IPT berdepan Generasi Alpha?

Permohonan ke pengajian tinggi melalui UPUOnline dibuka mulai Isnin ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tular di media sosial gelagat seorang pemuda menggunakan ChatGPT untuk memasak serta mendapatkan tip, bahkan menerima panduan langkah demi langkah bagaimana untuk memasak. Bunyi agak lucu namun itulah hakikat masa kini teknologi kecerdasan buatan (AI) mempengaruhi kehidupan seharian.

Generasi Z berkembang dengan teknologi serta merasai perkembangan awal internet dan media sosial. Manakala Generasi Alpha pula adalah generasi pertama yang sepenuhnya lahir di era digital dengan akses yang tidak terbatas. Mereka dianggap sebagai generasi digital. Generasi Alpha lebih selesa berinteraksi secara digital berbanding secara bersemuka.

Sudah pasti pendekatan pengajaran dan pembelajaran berbeza dengan generasi sebelum ini. Perbezaan antara generasi menuntut institusi seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melakukan anjakan paradigma dalam proses pengajaran dan pembelajaran, dengan mengutamakan kaedah berpusatkan pelajar, penerapan teknologi baharu dan pendekatan lebih holistik bagi memastikan pendidikan relevan dan berkualiti untuk generasi masa kini, juga akan datang.

UniMAP mesti merancang hala tuju strategik yang mampu mengintegrasikan teknologi baharu seperti pembelajaran berasaskan AI dan gamifikasi serta menyediakan ekosistem pendidikan responsif, holistik dan relevan untuk memupuk potensi generasi ini.

Melihat keakraban Generasi Alpha dengan peranti digital dan internet, pendidik di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu mengadaptasi strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai bagi memenuhi keperluan serta gaya pembelajaran generasi ini. Beberapa strategi boleh diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran seperti:

• Mengintergrasikan teknologi dalam pembelajaran kerana mereka sangat terdedah kepada teknologi. Mereka cenderung untuk menggunakan aplikasi pendidikan interaktif, video pembelajaran dan platform pembelajaran dalam talian yang boleh memperkayakan pengalaman pembelajaran.

• Pendidik perlu mengaplikasi pembelajaran berorientasikan projek dalam bilik kuliah yang boleh mengembangkan kemahiran kritikal seperti pemikiran kreatif, penyelesaian masalah dan kemampuan berkolaborasi. Projek-projek ini membolehkan pelajar meneroka topik secara mendalam dan mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi sebenar.

• Menggalakkan kerjasama pelajar melalui perbincangan kumpulan atau sesi pemikiran kreatif yang boleh meningkatkan pemahaman konsep dan memperluaskan perspektif selain membina kemahiran sosial serta berkomunikasi dengan berkesan.

• Menggalakkan pelajar mengekspresikan kreativiti melalui seni, muzik atau penulisan boleh meningkatkan daya ingatan dan kemampuan kognitif. Aktiviti kreatif ini juga membantu pelajar mengembangkan bakat dan minat mereka.

• Boleh menerapkan pembelajaran berasaskan masalah global bagi mendidik pelajar mengenai isu seperti perubahan iklim dan ketidaksamaan sosial yang boleh meningkatkan rasa empati serta pemahaman tentang dunia.

Justeru, dengan pendekatan yang tepat, Generasi Alpha boleh membesar menjadi individu yang cerdas, kreatif, berempati dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Keadaan ini selari dengan Perutusan Tahun 2025 Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, yang menekankan pentingnya pendidikan sebagai asas pembentukan generasi berdaya saing dan mampu menyokong pertumbuhan negara.

Ketersediaan UniMAP
UniMAP dengan bidang tujahan utama dalam elektrikal dan elektronik memberi penekanan berkaitan pengukuhan kurikulum, kerjasama industri, pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembelajaran berasaskan kerja.

UniMAP menawarkan pelbagai program dan kursus jangka pendek, kursus kelayakan mikro dan pelbagai inisiatif lain melalui gabungan format pembelajaran dalam talian dan hibrid. UniMAP sedang merangka program pasca siswazah mod pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL) yang memberi keanjalan kepada generasi baharu dan membuka peluang kepada masyarakat selain pekerja di industri.

UniMAP turut mengambil beberapa tindakan strategik dalam memperkukuhkan pembangunan dan penyampaian kurikulum, terutama dalam konteks pendidikan kejuruteraan dan teknologi. Elemen Revolusi Industri (IR) 4.0 seperti AI, IoT, analis data raya dan automasi diintegrasikan dalam kurikulum yang bermatlamat utama memastikan graduan relevan dengan keperluan industri masa kini dan masa hadapan.

Untuk itu, sebanyak 43 program pra-siswazah, di samping pelbagai program di peringkat ijazah lanjutan (MSc dan PhD), ditawarkan dalam pelbagai bidang meliputi aliran kejuruteraan, teknologi kejuruteraan dan teknologi. UniMAP kini dalam rangka penubuhan Fakulti Sains dan Pengkomputeran yang memberi fokus kepada bidang AI, teknologi pengkomputeran dan sains. Program pengajian baharu yang berasaskan teknologi terkini dan masa hadapan sedang dan akan ditawarkan termasuk Diploma Teknologi Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Sains Komputer, Sarjana Muda Data Sains (Kecerdasan Buatan), Sarjana Muda Perakaunan yang dibangunkan mengikut kerangka Kod Amalan Akreditasi Program TVET (COPTPA) dan Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Bahan Metalurgi).

Di samping itu, UniMAP giat bekerjasama dengan institusi luar negara seperti Universiti Yamanashi (Jepun), Universiti Hangzhou Dianzi (China) dan Universiti Kebangsaan Pukyong (Korea) dalam program Kecerdasan Buatan Terapan Asia (A3I) untuk pelaksanaan program ijazah berganda peringkat sarjana dan PhD melalui mod penyelidikan bagi memperkasakan hasrat pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara. Perkara ini juga menyokong fokus keempat perutusan menteri agar Malaysia menjadi hab pengajian antarabangsa. Terkini, UniMAP telah menubuhkan kampus di Cyberjaya bagi penawaran program akademik kepada pelajar luar negara.
Selain itu, UniMAP juga menawarkan program pengajian yang direka bentuk secara ‘padanan tepat’ bagi memenuhi keperluan industri semasa dengan kemudahan bertaraf industri.

UniMAP juga mempunyai Pusat TVET melalui lapan makmal dan tiga kilang mengajar, yang dilengkapi kemudahan terkini setara industri, menawarkan kursus-kursus pensijilan profesional sebagai nilai tambah kepada kemahiran sedia ada.

UniMAP juga menyediakan platform e-Pembelajaran bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran mengikut jadual sendiri dan pilihan pelajar. Fokus Ketujuh Perutusan Menteri KPT juga menekankan kepentingan universiti menjamin kesejahteraan kampus meliputi kesejahteraan mental dan perkhidmatan sokongan seperti kaunseling, kesihatan serta sukan agar pelajar generasi baharu ini dapat menjalani kehidupan yang lebih holistik.

Bagi merealisasikan matlamat ini tercapai, UniMAP memainkan peranannya dengan memperkenalkan Program Seven Pillars berteraskan kemahiran insaniah selari dengan Modul Kemahiran Insaniah oleh KPT.-UTUSAN

PROFESOR Datuk Dr. Zaliman Sauli ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×