PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menawarkan gaji minimum RM1,700 selain caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pekerja di premis mereka.
Sehubungan itu, Presiden Presma, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata tidak timbul isu pihaknya tidak menjaga kebajikan pekerja dengan membayar gaji rendah dan disuruh bekerja dalam waktu yang panjang.
“Dakwaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) adalah tidak tepat. Kami memohon jasa baik MTUC untuk membantu mendapatkan 5,000 pekerja tempatan terlebih dahulu, dan kami akan menyalurkan peluang ini kepada ahli-ahli kami. Selepas itu, kita boleh melihat berapa ramai yang bersedia untuk bekerja secara tetap.
“Kerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) juga tidak membuahkan hasil, kerana mereka sendiri mengakui sambutan daripada pekerja tempatan adalah sangat rendah. Kebanyakan pekerja tempatan yang hadir hanya berminat untuk mendapatkan pengalaman sementara sebelum berpindah ke Singapura kerana perbezaan nilai mata wang.
“Oleh itu, kami menegaskan dakwaan MTUC adalah tidak berasas. Kami memohon agar MTUC membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak JTK sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Presiden MTUC, Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, rakyat Malaysia bukan tidak berminat bekerja di restoran tempatan sebaliknya gaji rendah, waktu kerja panjang dan tidak dilindungi KWSP serta Perkeso menjadi punca sektor itu dijauhi warga tempatan.
“Persepsi masyarakat terhadap pekerjaan di restoran tempatan sering kali dianggap kurang berprestij berbanding pekerjaan di restoran makanan segera atau sektor lain yang lebih terkenal.
“MTUC juga menekankan kebanyakan pekerja tempatan mencari pekerjaan yang menawarkan insentif, peluang peningkatan kerjaya dan faedah yang lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, Jawahar berkata, MTUC sepatutnya menjadi pihak tengah yang membantu Presma untuk mendapatkan pekerja tempatan yang mencukupi dan bersedia untuk bekerja dalam industri makanan dan minuman.
“Presma menyambut baik sekiranya MTUC dapat membantu pemilik restoran mendapatkan pekerja tempatan yang berkemahiran dan berminat dalam bidang ini.
“Keutamaan Presma adalah sentiasa memberikan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan, dan ini terbukti apabila beberapa pemilik restoran hari ini merupakan bekas pekerja yang sudah berpengalaman dalam sektor ini.
“Persoalannya, sejauh mana mereka bersedia untuk bekerja di sektor ini dengan baik, menyesuaikan diri dengan persekitaran, serta memastikan kualiti makanan dan minuman yang disediakan?,” soalnya.










