Israel buat sekatan jalan raya di selatan Lubnan, umum enggan berundur

Israel buat sekatan jalan raya di selatan Lubnan, umum enggan berundur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Tentera Israel bertindak membina sekatan jalan di beberapa bandar dan laluan utama di kawasan strategik Lembah Lubnan Selatan, sehari sebelum tarikh akhir yang ditetapkan untuk pengunduran mereka seperti yang termaktub dalam perjanjian gencatan senjata dengan kumpulan Hezbollah.

Tentera Israel turut mengesahkan mereka tidak akan menyempurnakan pengunduran tersebut seperti yang dijadualkan hari ini.

Perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada penghujung November itu menetapkan tempoh 60 hari untuk kedua-dua pihak menarik keluar pasukan masing-masing dari kawasan itu, sementara tentera Lubnan bersama pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikerahkan untuk mengambil alih kawalan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Israel mendakwa Hezbollah dan tentera Lubnan gagal memenuhi tanggungjawab mereka, manakala Lubnan menuduh Israel menghalang pengambilalihan tersebut.

Dalam satu kenyataan, tentera Israel berkata, perjanjian tersebut sedang berjalan namun mengakui terdapat kelewatan di beberapa sektor yang memerlukan sedikit masa lagi untuk diselesaikan.

Tentera Lubnan dalam satu kenyataan pula menegaskan mereka telah dikerahkan di beberapa kawasan sebaik sahaja tentera Israel berundur namun, mereka turut menuduh rejim tersebut melengahkan pengunduran di kawasan-kawasan lain.

Pasukan Pengaman PBB di Lubnan (UNIFIL) turut memaklumkan kereta kebal dan jentolak Israel telah membina sekatan jalan secara tiba-tiba di mana ianya dilihat bertujuan menghalang penduduk untuk kembali ke kampung halaman mereka disamping menemui senjata dan bahan letupan di beberapa struktur semasa rondaan.

Pegawai tentera Lubnan menuduh Israel turut memusnahkan rumah-rumah penduduk dan infrastruktur awam.

Setakat ini, terdapat lebih 112,000 penduduk Lubnan masih menjadi pelarian daripada lebih satu juta yang dipindahkan akibat perang tersebut.

Kawasan besar di selatan dan timur Lubnan serta pinggir selatan Beirut turut musnah akibat pengeboman Israel.

PBB dan komuniti antarabangsa kini berdepan cabaran besar untuk memastikan perjanjian gencatan senjata itu dilaksanakan sepenuhnya bagi membolehkan penduduk kembali dan membina semula kehidupan mereka. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN