Pemandu warga asing rayu dilepaskan, JPJ sita kenderaan

Pemandu warga asing rayu dilepaskan, JPJ sita kenderaan

PEMUDA antara ditahan memberi alasan sibuk bekerja menyebabkan dia tidak sempat mendapatkan lesen memandu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Taktik seorang warga Bangladesh merayu-rayu meminta dilepaskan gagal apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang dipandunya tetap disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Raja Laut, di sini semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia sewaktu operasi tersebut mendapati MPV itu antara sembilan kenderaan dipandu warga asing yang disita dalam operasi penguatkuasaan selepas mereka didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Ketika ditahan, lelaki berusia lingkungan 30-an itu berulang kali merayu kepada pegawai JPJ supaya dilepaskan walaupun mengaku sedar melakukan kesalahan kerana memandu tanpa lesen yang sah.

“Tolonglah, bang. Kasi lepaslah. Tolonglah, bos. Tolong. Saya tahu ini (dokumen) tak boleh pakai. Saya salah. Saya minta maaf. Tolonglah kasi lepas,” katanya dengan nada merayu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang pemuda tempatan yang ditahan pula memberi alasan sibuk bekerja menyebabkan dia tidak sempat mendapatkan lesen memandu.

“Saya baru ambil ujian komputer (lesen memandu) tetapi gagal, jadi sekarang tengah tunggu ujian sekali lagi.

“Saya sudah lama tunggang motosikal sejak dari sekolah, cuma tidak sempat ambil lesen sebab sibuk kerja di Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, sebanyak 1,106 kenderaan diperiksa dalam operasi yang dijalankan dari pukul 8 malam hingga 12 tengah malam itu.

Menurutnya, 124 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan dengan 11 kenderaan disita, termasuk lapan motosikal dan tiga kereta.

“Sebanyak 253 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, antaranya tiada lesen memandu (103 kes), tiada cukai jalan (128 kes), ubah suai kenderaan (1 kes) dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (18 kes),” katanya pada sidang akhbar di lokasi operasi.

Menurutnya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang turut serta dalam operasi berkenaan telah menahan lapan individu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri daripada tiga warga Pakistan, empat warga Indonesia dan seorang warga Bangladesh.

“Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pula memeriksa 18 individu dan lima daripadanya ditahan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine dan benzo,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hamidi mendedahkan sejak 20 Januari hingga kelmarin, pihaknya telah memeriksa 8,436 kenderaan, mengeluarkan 2,913 saman dan menyita tujuh kenderaan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan.
Beliau turut menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang demi keselamatan bersama. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×