Cerpen: Secangkir rezeki

Cerpen: Secangkir rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap hari, tanganku ini sibuk mengatur pinggan, mencuci gelas dan menyapu lantai yang dipijak kaki yang penuh lumpur.

Hidup ini sederhana tetapi penuh dengan keringat. Aku tetap bersyukur. Sekadar cukup untuk menyambung hayat. Namun, sejak kebelakangan ini, kedamaian kecil yang aku miliki direnggut oleh pandangan mata yang tajam dan kata-kata yang menyayat hati.

“Dia itu kerja dengan penyokong Yahudi. Jangan dekat dengan dia,” suara itu menusuk dari belakangku. Cukup kuat untuk didengar oleh telingaku yang sedang sibuk di dapur.
Ini bukan kali pertama. Ada masa aku menjadi sasaran pandangan sinis, bisikan beracun dan wajah-wajah yang berpaling apabila aku menghidangkan makanan di meja.

Aku mengerti sahaja. Aku tahu mengapa. Kata mereka, syarikat tempatku bekerja ini yang menjadi punca kepada segala peperangan dan penindasan yang berlaku di tanah saudara jauh di sana.

Di tanah yang penuh derita dan tangisan.

Aku tidak menyalahkan mereka yang membenci. Tidak sama sekali. Aku malah turut merasa sakit setiap kali mendengar berita dari sana.

Setiap kali melihat wajah anak-anak kecil yang menangis di antara runtuhan bangunan.

Setiap kali melihat darah memenuhi jalan yang sepatutnya penuh dengan kehidupan. Aku juga tidak pernah berhenti berdoa, memanjatkan harapan agar kezaliman itu berakhir.

Aku bersolidariti dengan sepenuh hati. Sepenuh jiwa!

Namun, siapalah aku?

Aku bukannya orang kaya. Bukan juga orang berpendidikan tinggi.

Taraf pendidikanku cuma setakat sekolah menengah. Pilihan kerjaya pun terbatas dan dunia ini tidak pernah terlalu murah hati kepada manusia sepertiku.

Diri ini bekerja di sini bukan kerana aku menyokong apa yang mereka lakukan. Aku bekerja kerana aku tiada pilihan lain. Kerana rezeki itu harus dicari walaupun hanya seteguk air di tengah kegersangan hidup.

“Dia sanggup kerja dengan mereka? Tak ada maruah!”

Kata-kata itu menyelinap masuk melalui dinding kedai seperti angin dingin yang menikam. Aku sedang mengelap meja di sudut, ketika suara-suara dari luar kedai menjadi semakin jelas.

Tidak sanggup untuk melihat siapa yang berbicara seperti itu. Hati aku terasa remuk. Ada yang daripada mereka cukup untuk membuat darahku membeku.

Aku memilih untuk berhenti sejenak. Tangan masih memegang kain lap yang lembap. Kata-kata itu terasa seperti belati yang dilempar dari jauh tetapi tepat mengenai dada.

Diam. Itu saja yang aku mampu. Aku tidak punya keberanian untuk keluar dan membela diri. Apa yang harus aku jawab? Apa yang boleh aku pertahankan?
“Dia itu kerja dengan penyokong Yahudi. Jangan dekat dengan dia,” suara lain menambah.

Terdengar gelak kecil yang disusuli desiran langkah mereka menjauh. Tapi kesan kata-kata itu masih melekat. Bergema di benakku.

Ya, Tuhan. Aku hanyalah seorang manusia biasa yang terperangkap antara dua sisi yang sama-sama berat.
Di satu sisi, aku ingin bersama mereka. Berdiri menentang kezaliman dan menolak kejahatan.

Manakala di sisi lain, aku adalah seorang anak, seorang abang, seorang manusia yang perlu memastikan keluarga di rumah tidak tidur dalam kelaparan.

Setiap malam sebelum tidur, aku sering bertanya kepada diri sendiri, adakah aku salah?

Adakah tangan ini yang mencuci pinggan dan menyusun meja, berdosa kerana aku bekerja di sini?

Adakah wang yang aku bawa pulang ibu dan adik-adikku, akan dipersoalkan oleh Engkau?

Tetapi kemudian aku sedar, dunia tidak pernah sederhana. Tidak semua yang hitam itu pekat. Dan tidak semua yang putih itu bersih. Aku cuma seorang insan yang terperangkap di tengah lorong sempit kehidupan. Yang berdoa agar tiada lagi tangisan di sana dan tiada lagi kebencian di sini.

‘Aku cuma mahu hidup,’ bisikku perlahan kepada udara yang tidak menjawab.

Sangatlah aku sedar bahawa aku ini seorang manusia tidak sempurna. Tapi aku tetap manusia yang mencari secangkir rezeki di dunia yang tak pernah cukup murah hati.

Sekurang-kurangnya aku tidak mencuri.

Sekurang-kurangnya aku tidak merompak demi sesuap nasi.

Tanganku yang mencuci pinggan dan menyusun meja ini mungkin dipandang rendah, tetapi tetap tangan yang jujur.

Rezeki yang aku bawa pulang, walaupun sedikit adalah rezeki yang aku peroleh dengan keringat sendiri. Bukan dengan memperdagangkan maruah atau memakan hak orang lain.
Aku tahu, ada yang memilih jalan lain.

Jalan yang lebih licin dan penuh tipu daya. Mereka yang berpakaian rapi dan duduk di kerusi kuasa. Mereka yang sesekali menekan pen boleh menafikan hak ratusan, mungkin ribuan.

Mereka tidak mencuci pinggan, tetapi tangan mereka penuh dengan dosa-dosa yang tidak terlihat.

Dosa yang diperoleh daripada kertas kontrak yang menyembunyikan dusta. Projek-projek yang mengalirkan wang ke kantung peribadi bukan kepada warga marhaen yang memerlukannya.
Korupsi. Ya, aku tahu ia wujud.

Tipulah jika aku tidak mendengar cerita-cerita itu.

Tentang bagaimana kekayaan yang seharusnya milik bersama mengalir ke arah yang salah.

Tentang bagaimana bantuan yang dijanjikan tidak pernah sampai kepada mereka yang terlalu lapar dan haus hingga kurus mencengkung.

Tentang bagaimana sesetengah manusia hidup dalam kemewahan, sementara yang lain memakan serpihan sisa seperti haiwan liar di jalanan.

Berpuluh kali aku memesan pada diri sendiri. Jangan pilih untuk menjadi seperti itu. Walaupun hidupku susah, aku tidak mahu tangan ini ternoda dengan dosa sebesar itu.

Aku bersumpah kepada diri sendiri tidak mahu menjadi salah satu daripada mereka yang memindahkan gunung emas ke dalam kantung peribadi sementara orang lain mengemis di kaki gunung yang sama.

“Dia cuma kerja di kedai makan.” Mungkin ada yang berkata dengan sinis, seolah-olah pekerjaan ini tidak punya nilai.

Tapi bagiku, kerja ini adalah nyawa. Pekerjaan ini adalah titian kecil yang menghubungkan aku dengan kehidupan yang ingin aku pertahankan.

Sekurang-kurangnya aku tahu, setiap sen yang aku bawa pulang itu halal. Biarpun tidak segunung duitnya.

Aku juga berjanji kepada diri sendiri agar tidak akan membiarkan kezaliman dunia memaksaku menjadi zalim juga. Aku tahu jalan yang aku pilih ini sempit, seperti lorong kecil tanpa cahaya.

Tapi aku perlu terus berjalan, walaupun perlahan. Berbekalkan dengan doa yang membasahi di bibir.
Namun, hari itu, langkahku terhenti seketika.

Aku baru sahaja selesai mengelap meja terakhir di sudut kedai.

Seorang rakan sekerja menghulurkan sepucuk surat kepadaku. Surat itu daripada majikanku. Tanganku menggigil ketika membuka lipatan kertas itu. Mata aku bergerak perlahan-lahan membaca setiap baris.

Kedai makan ini bakal ditutup. Aku terduduk di kerusi. Nafas terasa semput. Rangkaian ayat dalam surat itu menjelaskan sebabnya.

Hasil daripada aktiviti memboikot. Kedai ini tidak lagi mampu bertahan. Pelanggan semakin berkurang. Keuntungan jatuh merudum dan perniagaan ini akhirnya harus menyerah kepada tekanan.

Aku tidak marah. Tidak kepada sesiapa.

Memujuk diri sendiri bahawa ini pasti ujian dari-Nya. Dunia memang tidak pernah berhenti menguji dan aku sedar perjuangan orang-orang di sana yang jauh lebih sengsara daripada aku adalah punca boikot ini berlaku.

Mereka berjuang demi tanah mereka. Demi hak mereka. Demi hidup yang diragut dengan kejam.

Jika aku menjadi mereka, aku juga pasti akan berjuang dengan apa sahaja cara yang aku mampu.

Aku keluar dari kedai itu buat kali terakhir menyandang beg kecil yang berisi apron lusuh dan sisa harapan yang masih aku genggam erat.

Terang bulan penuh menyambut langkahku, tetapi hati terasa berat. Aku berdiri di luar pintu, memandang papan tanda kedai makan itu yang tidak lama lagi akan diturunkan.

Tiba-tiba, seorang lelaki berusia dalam lingkungan empat puluhan, berjambang rapi dan berkemeja kemas, menghampiriku. Air mukanya tenang. Senyumannya kelihatan ramah, tetapi ada sesuatu di matanya yang tidak aku suka. Seperti pemangsa yang menilai mangsanya.

Dia menghulurkan kad perniagaannya kepada aku.

“Saya nampak awak keluar daripada kedai itu. Saya tahu perniagaan kedai ini bakal melingkup,” katanya.

“Awak nampak seperti seorang pekerja yang rajin. Saya ada peluang kerja untuk awak, kalau awak berminat,” sambung lelaki itu.

Aku menatap kad itu. Terpapar nama lelaki itu bersama logo syarikatnya.

Sebuah syarikat pelaburan saham yang tidak pernah aku dengar. Tawaran itu kedengaran seperti jawapan mudah kepada kerisauan aku tentang pekerjaan seterusnya.

“Apa kerjanya?” soalku perlahan.

“Pelaburan,” jawabnya sambil tersenyum. “Tugas awak mudah. Awak hanya perlu yakinkan orang untuk melabur dengan kami. Tak susah pun! Komisen tinggi. Hidup awak boleh berubah dalam sebulan. Mungkin lebih baik daripada bekerja di sini.

“ Tapi awak perlu tahu, ada strategi tertentu yang kita gunakan. Kita perlu meyakinkan mereka, walaupun bukan semua itu benar. Awak faham bukan?”

Aku terdiam. Kata-katanya meluncur masuk ke dalam fikiranku seperti bisikan halus yang cuba menyelinap ke hati. Tetapi aku segera faham apa maksudnya. “Strategi tertentu” itu hanyalah nama lain untuk penipuan.

Aku menghulurkan kad itu semula kepadanya, tangan aku tetap tenang walaupun dada bergemuruh.

“Maaf,” kataku, dengan suara yang tegas tetapi sopan. “Saya tak berminat.”

Dia mengerutkan dahi. “Awak tak mahu pertimbangkan dulu? Ini peluang besar. Awak boleh ubah nasib hidup awak. Nak kerja apa lagi selepas ini?”

Aku menggeleng. “Cukup dengan syarikat tempat saya bekerja tadi yang mencederakan saudara saya di sana,” kataku, suaraku sedikit serak tetapi penuh tegas. “Saya sudah serik. Saya tak mahu pula mengkhianati saudara sendiri di negara saya sendiri. Kalau rezeki itu datang dengan cara melukakan orang lain, ia bukan rezeki, tetapi beban. Maafkan saya ya.”

Lelaki itu memandangku dengan mata tajam, tetapi aku tidak peduli. Aku melangkah pergi, meninggalkan dia dan kad perniagaannya di belakang.

Aku tidak tahu apa yang menunggu aku di depan. Hidup ini terlalu sukar untuk diteka, tetapi aku tahu satu perkara: aku akan terus berjalan, walaupun perlahan. Dengan tangan yang tidak ternoda. Dengan hati yang tetap yakin bahawa rezeki itu milik Tuhan, dan ia akan sampai pada mereka yang tidak berhenti berusaha.

Aku teringat akan firman Allah dalam Surah Hud, “Dan tidak ada suatu makhluk melata pun di bumi melainkan Allah yang memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam makhluk itu dan tempat penyimpanannya. Semua tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz).”

Aku menarik nafas panjang. Aku tahu, rezeki bukan milik manusia untuk menentukan.

Rezeki itu milik Dia. Dan aku yakin bahawa setiap usaha yang halal pasti akan diberkati.

“Ya Allah, lindungilah mereka. Kuatkanlah hati mereka. Bebaskanlah mereka dari kezaliman. Kurniakanlah mereka merdeka, seperti Engkau membebaskan Musa dari Firaun, seperti Engkau membuka jalan bagi mereka yang beriman.

“Jadikanlah kami juga insan yang tidak pernah lupa, yang tidak pernah alpa, untuk terus berdoa dan berjuang untuk mereka.”

Tanpa sedar, dalam hati, aku mulai berdoa. Tidak dengan tangan terangkat ke langit, tetapi dengan jiwa yang berbicara kepada-Nya dalam setiap langkah yang aku hayunkan.

Bukan hanya untuk diriku, tetapi juga untuk mereka yang lebih memerlukan. Untuk saudara-saudaraku di Palestin. Di tanah yang menjadi saksi luka dan darah.

Aku menyeka air mata yang mengalir tanpa aku sedari. Kemudian, aku melangkah pergi dari tempat kerjaku yang bakal tutup itu. Meninggalkan semuanya di belakang.

Hidup ini mungkin penuh dengan ujian. Tetapi aku tahu, keadilan Allah tidak pernah salah waktu. Dan aku berdoa, suatu hari nanti semua yang tunduk kepada-Nya dimurahkan rezeki. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×