Petronas serah operasi KBBC PSC kepada ConocoPhillips - Utusan Malaysia

Petronas serah operasi KBBC PSC kepada ConocoPhillips

petronas
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas memindahkan pengendalian Kontrak Perkongsian Pengeluaran Kluster Kebabangan (KBBC PSC) kepada ConocoPhillips Sabah Gas Ltd., anak syarikat kepada syarikat tenaga global, ConocoPhillips.

Pemindahan itu, yang diselia oleh Pengurusan Petroleum Malaysia, berkuat kuasa pada 21 Januari 2025, menjadikan ConocoPhillips Sabah Gas sebagai pengendali tunggal bagi kluster medan minyak dan gas berkenaan.

Petronas berkata, kapasiti eksport kluster itu mampu mencapai sehingga 750 juta kaki padu gas standard sehari. 

“Lanjutan KBBC PSC sehingga akhir 2050 serta perjanjian komersial lain telah disusun untuk memastikan pembangunan medan gas kekal menarik dari segi ekonomi.

“Langkah ini menyokong keperluan jaminan tenaga Sabah dan terus memperkukuh sektor tenaga negeri ini,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, KBBC PSC dikendalikan oleh Kebabangan Petroleum Operating Company Sdn Bhd (KPOC), sebuah syarikat operasi bersama yang terdiri daripada Petronas Carigali Sdn Bhd, Shell Energy Asia Ltd, dan ConocoPhillips Sabah Gas Ltd.

Petronas menegaskan komitmennya untuk memastikan bekalan minyak dan gas yang optimum dan mampan bagi menyokong jaminan tenaga Malaysia.

Pengurusan Petroleum Malaysia memainkan peranan penting dalam menyelia pengaturan petroleum dan memastikan pelaksanaan pengurusan yang baik untuk aktiviti petroleum huluan di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, negeri itu semakin berkembang pesat sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan minyak dan gas berikutan sokongan strategik daripada Petronas serta rakan industrinya.

“Inisiatif ini menekankan potensi besar sumber Sabah dan mengukuhkan komitmen kami untuk memacu pertumbuhan ekonomi serta mencipta peluang untuk rakyat negeri ini. 

“Kami berharap dapat terus bekerjasama dengan Petronas demi kepentingan terbaik Sabah,” katanya.

Pemindahan operasi KBBC PSC kepada ConocoPhillips Sabah Gas dijangka mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab minyak dan gas, sekali gus menyumbang kepada kestabilan tenaga negara dan pembangunan ekonomi jangka panjang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×