Peneman Najib bertemu Raja Abdullah antara 25 saksi dipanggil pihak pembela

Peneman Najib bertemu Raja Abdullah antara 25 saksi dipanggil pihak pembela

MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas 26 hari memberi keterangan di kandang saksi, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selesai memberi keterangan mem­bela diri di Istana Kehakiman di sini.

Perbicaraan yang bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sejak 2018 bersambung di Istana Kehakiman sejak 6 Di­sember lalu atas sebab-sebab yang tidak dinyatakan. Najib mula memberi keterangan bela diri sejak 2 Disember lalu.

Beliau membaca pernyataan saksi setebal 678 tidak termasuk soalan-soalan tambahan yang mengambil masa 12 hari bagi pemeriksaan utama.

Pihak pendakwaan yang di­kendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dan Kamal Baharin Omar dibantu dengan pendakwa-pendakwa raya lain mengambil masa 10 hari untuk menyoal balas Najib. Baki empat hari adalah pemeriksaan semula oleh pembelaan.

“Saya mohon saksi (Najib) dibebaskan daripada kandang saksi tetapi tidak dibenar me­ninggalkan mahkamah,” ujar peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang disambut dengan ketawa kecil daripada mereka yang berada di mahkamah.

Muhammad Shafee kemudian memaklumkan mahkamah terdapat 25 orang saksi lagi yang akan dipanggil termasuk tiga orang peguam, dua pengarah syarikat dan beberapa individu yang menemani Najib untuk bertemu dengan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah pada Januari 2010.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik siapakah individu-individu tersebut.

“Sebelum ini memang kami akan memanggil 20 orang saksi tetapi selepas menjalankan temuramah dengan beberapa sak­si, kami dapati kami perlu me­manggil beberapa saksi tambahan. Tiada sebarang pernya­taan saksi akan disediakan.

“Saksi-saksi ini memberi­tahu kami yang mereka lebih selesa memberi keterangan secara lisan,” kata Muhammad Shafee.

Terdahulu, Najib sebelum selesai memberi keterangan turut memasukkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan dan membebaskannya dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy daripada pertuduhan meminda laporan audit syarikat itu di akhir pendakwaan.

Pada 3 Mac 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mah­kamah Rayuan) membebaskan Najib dan Arul Kanda tanpa memanggil mereka untuk membe­la diri.

Mahkamah Rayuan pada 12 September 2023, mengekalkan keputusan itu selepas menolak notis rayuan pendakwaan yang difailkan di luar tempoh masa yang ditetapkan tanpa membuat sebarang permohonan untuk berbuat demikian.

Pada 30 Oktober 2014, Najib diperintah bela diri atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB.

Beliau juga perlu mem­bela diri atas 16 pertuduhan mene­rima wang hasil aktiviti haram daripada akaun Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya se­belum memindahkannya semula ke akaun milik Tanore berjumlah RM2,196,786,711.87.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga menghadapi lima pertuduhan menggunakan hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM20,000,000 untuk dibayar kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO); RM100,000 dibayar kepada UMNO Bahagian Batu Kawan; RM246,000 kepada Lim Soon Peng; RM2,000,000 kepada ORB Solutions Sdn. Bhd. dan RM303,000 kepada Semarak Konsortium Satu Sdn. Bhd.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan bersambung 10 Februari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×