BATU PAHAT: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun 10 bulan cedera parah hampir di keseluruhan badannya apabila diserang sekumpulan anjing liar ketika berada di hadapan rumahnya di Peserai, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada pukul 7 pagi.
“Ketika kejadian, mangsa sedang berada di hadapan rumah sebelum diserang sekumpulan anjing liar di kawasan berkenaan hingga menyebabkannya cedera di hampir seluruh badan.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini untuk rawatan, sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Shahrulanuar Mushaddat, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pengabaian Kanak-Kanak) dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan (Kecuaian berkenaan dengan haiwan).-UTUSAN










