‘Wanita jangan hanya bergantung pada suami’

‘Wanita jangan hanya bergantung pada suami’

Shermine lebih bahagia mencintai diri sendiri.-UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALI kedua menyambut Tahun Baharu Cina dengan status ibu tunggal menjadikan Shermine Hau Shi Ni atau lebih dikenali sebagai Ah Moi di media sosial semakin kental mengharungi liku hidup bersama tiga puterinya.

Beliau juga sedang bahagia menyemai ‘cinta’ baharu yang kian mekar selepas episod kehancuran rumah tangganya dua tahun lalu.

Cinta yang semakin mekar dalam diri Shermine Hau Shi Ni sudah tentu cintanya kepada diri sendiri.

Lebih mesra disapa Ah Moi, figura ini mengambil iktibar daripada kegagalan rumah tangga dengan menyayangi diri sendiri sebaik mungkin demi mengecapi bahagia.

Benar, bukan mudah menerima hakikat bahawa mahligai yang dibina selama lapan tahun musnah dalam sekelip mata.

Apatah lagi, kemelut rumah tangganya itu sempat tular dan mendapat sorotan umum kerana dakwaan kehadiran orang ketiga yang menyebabkan hubungan Ah Moi dan bekas suami berantakan.

Apapun, bagi Ah Moi, kisah itu sudah lama disimpan kemas dalam kamus hidupnya dan menjadi pengajaran terhebat.

Beliau terus melangkah ke hadapan tanpa ingin lagi menoleh ke belakang.

“Sekarang ini, saya lebih fokus kepada diri sendiri dan menyayangi diri sendiri.

“Dahulu, semasa berkahwin kita ada tanggungjawab kepada suami dan hendak berbuat apa-apa pun perlukan keizinan suami.

“Tapi sekarang, saya lebih bahagia kerana saya boleh buat perkara yang saya suka tanpa perlu terikat dengan sesiapa dan saya rasa lebih bebas,” katanya kepada Seri.

Jika diamati, memang wanita ini memang nampak lebih bahagia dengan penampilannya yang semakin ramping dan cantik ketika bersua muka di studio penggambaran baru-baru ini.

Kulit wajahnya yang putih mulus tampak bersinar walaupun hanya dilitupi solekan tipis.

Benarlah, wanita akan tampil lebih cantik dan berseri-seri apabila lebih menyayangi diri sendiri.

Ketika diajukan soalan mengenai kemelut rumah tangga yang pernah tular, sesekali beliau tertawa lepas dan riak wajahnya tidak sedikit pun menunjukkan rasa kurang senang.

Jelas sekali, wanita ini sedang meniti bahagia dan benar-benar move on daripada masa lalunya.

BINA EMPAYAR

Diusik sama ada sudah bertemu pengganti, ibu kepada tiga anak ini berkata, hatinya masih belum terisi.

Masa dan fokusnya lebih tertumpu kepada perniagaan dan anak-anak yang kian membesar.

Katanya, soal percintaan biarlah masa yang menentukan kerana ketika ini dia mahu mengembangkan dahulu empayar perniagaan produk kecantikan yang dibangunkan bersama rakan baiknya.

Ah Moi yang juga Pengasas Artemizs Soulmate Beauty Sdn. Bhd. baharu sahaja melancarkan produk sulungnya tahun lalu iaitu Artemizs LED Lighting Silicone Mask.

Topeng wajah ini adalah yang pertama seumpamanya yang dihasilkan oleh jenama tempatan.

“Iya. kita jenama tempatan pertama yang menghasilkan sendiri topeng wajah menggunakan teknologi ini.

“Saya dan rakan kongsi ambil masa dua tahun untuk memulakan perniagaan ini kerana ia melibatkan proses penyelidikan dan pembangunan,” katanya yang mempunyai 16 tahun pengalaman dalam bidang perniagaan.

Sejak di usia 17 tahun beliau sudah berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dengan bermula sebagai agen.

Kemudian, pengalamannya dikembangkan lagi selepas berkahwin dengan bekas suaminya yang juga seorang usahawan.

Berbekalkan pengalaman yang ada, beliau yakin mampu menaikkan jenamanya sendiri selepas ini serta menjadi sumber pendapatan buat beliau dan anak-anak.

Justeru, Ah Moi juga sempat menitipkan pesanan buat wanita di luar sana untuk mempunyai pekerjaan sendiri walaupun sudah berkahwin.

Mengambil iktibar daripada perkara yang berlaku dalam hidupnya, kata Ah Moi, wanita jangan terlalu bergantung kepada suami kerana tiada siapa tahu perhubungan akan bertahan setakat mana.

“Wanita mesti ada kerjaya sendiri, tidak kisah sama ada gaji kecil atau besar. Paling penting ada kerja.

“Sebab kita tidak tahu apa akan terjadi di masa hadapan. Boleh jadi hari ini suami cakap dia sayang, dia akan tanggung kita tapi esoknya berubah. Waktu itu, apa yang kita ada?

“Bukan hendak cakap jangan percaya suami atau kena curiga dengan suami, tetapi lebih baik bersedia dengan segala kemungkinan yang akan terjadi. Setiap wanita kena ada duit sendiri,” katanya.

Selepas kes tular itu, rezekinya juga semakin murah sebagai pempengaruh di media sosial yang juga menjadi sumber pendapatan buatnya.

BANGKIT DEMI ANAK, KELUARGA

Ibarat luka tidak berdarah. Itulah kesakitan yang pernah dilalui wanita berusia 33 tahun ini selepas bercerai.

Selama setahun beliau dibelenggu kemurungan dan terpaksa mendapatkan bantuan pakar dek gejolak jiwa yang meronta-ronta kesakitan.

Malah, pernah terlintas difikirannya untuk melakukan hal yang melampaui batas kerana terlalu tertekan.

“Mujurlah, ada ibu bapa yang sering melawat saya di rumah ketika itu. Mereka sering menasihati saya bahawa saya ada tiga anak perempuan yang perlukan perhatian dan kasih sayang seorang ibu.

“Mereka kata, jangan pernah terfikir untuk buat yang bukan-bukan kerana tanggungjawab saya besar sebagai seorang ibu.

“Selepas itu saya ambil masa untuk sembuhkan diri. Saya fikir cukuplah saya menderita kerana seorang lelaki. Bila saya lihat anak-anak, saya jadi semakin kuat,” katanya yang mempunyai tiga puteri berusia sembilan tahun, tujuh tahun dan tiga tahun.

Begitupun, jiwa besarnya tidak menaruh sekelumit dendam kepada bekas suami.

Beliau tetap mengekalkan hubungan baik demi kesejahteraan anak-anak yang memerlukan kasih sayang ibu dan bapa.

Baru-baru ini, beliau turut menyambut hari lahir anak bersama-sama, malah sempat menitipkan ucapan kepada bekas suami agar terus sihat dan bahagia menerusi laman Instagramnya.

TAHUN BAHARU LEBIH BERMAKNA

Menjelang beberapa hari sahaja lagi sambutan Tahun Baru Cina, kata Ah Moi, dia sudah melengkapkan persiapan raya untuk keluarga.

Pagi raya nanti, Ah Moi dan anak-anak akan pulang ke kampung neneknya di Pahang.

“Sekarang ini setiap kali Tahun Baru saya akan pulang ke Pahang dan sudah pasti ini masa yang ditunggu-tunggu untuk berkumpul bersama keluarga.

“Hidangan kegemaran setiap kali perayaan adalah ikan kukus dan juga hotpot,” katanya yang tampil menarik dalam persalinan Cheongsam rona biru muda.

Tahun Baru kali ini juga menjadi detik permulaan untuk Ah Moi mengembangkan kerjaya dan potensi dirinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×