Henti pengasingan murid, pelajar di sekolah - Utusan Malaysia

Henti pengasingan murid, pelajar di sekolah

JASNI MD. KECHIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) bersetuju Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan kerana secara tidak langsung pembelajaran berasaskan peperiksaan tidak lagi menghantui murid dan guru malah waris beserta masyarakat.

Sebaliknya, setiap murid akan dinilai berasaskan keupayaan atau potensi mereka sesuai dengan pengembangan diri dan kebolehan mereka.

Guru-guru tentunya akan lebih kreatif untuk membimbing murid mencari ilmu, kemahiran dan nilai bagi membina karakter supaya berkeyakinan tinggi dan sesuai dengan peredaran semasa serta kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Jasni Md. Kechik berkata, dalam hal berkenaan, Kongres menegaskan pengasingan pelajar jika masih berlaku di sekolah-sekolah dari tahun satu hingga ke tingkatan tiga perlu dihentikan segera.

Beliau berkata, sebaiknya diwujudkan kelas yang terdiri daripada pelbagai kebolehan aras pembelajaran supaya wujud perasan kasih sayang, saling menghormati dan tolong menolong antara satu sama lain serta tiada pelajar atau murid yang lemah tersisih daripada kumpulan mereka yang cemerlang.

“Dalam soal penempatan pelajar di sekolah rendah dan menengah dari tahun satu hingga tingkatan tiga sepatutnya pelajar diberi hak belajar di sekolah yang berdekatan dengan rumah mereka.

“Pelajar boleh memilih sekolah bersesuaian yang menawarkan pilihan pakej mata pelajaran apabila mereka mula belajar di tingkatan empat dan lima kerana pada peringkat ini mereka belajar memilih peluang kerjaya yang sesuai dengan kebolehan mereka.

“Saya yakin guru yang terlatih mampu melaksanakan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang berkesan bagi membolehkan setiap pelajar mendapat hak mereka semasa belajar di sekolah,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, Kementerian Pendidikan mengumumkan UPSR dimansuhkan sepenuhnya manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) untuk tahun ini dibatalkan.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, selaras pemansuhan UPSR dan pembatalan PT3, maka pihaknya akan melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) untuk mengukur pencapaian murid dan pelajar terlibat.

Mengulas lanjut, Jasni berkata, apabila UPSR dimansuhkan, PBD perlu dilaksanakan dengan sepenuh hati oleh semua guru.

“Pelajar dinilai berasaskan pengembangan potensi mereka dan saya yakin unsur kreativiti dalam kalangan guru dan pelajar akan lebih terserlah di sekolah kerana mereka sudah tidak terikat dengan pembelajaran berasaskan peperiksaan.

“Pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri perlu kerap turun ke sekolah membimbing para guru supaya dapat melaksanakan PBD dengan berkesan yang mana akhirnya akan memberi impak baik kepada pelajar,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×