PUTRAJAYA: Pelaksanaan pusingan kerja penjawat awam khususnya yang bertugas di kaunter perkhidmatan mampu menangani masalah integriti bagi memperkukuhkan kepercayaan rakyat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu juga mewujudkan suasana kerja lebih kondusif kepada golongan itu terutama mereka bekerja melebihi lima tahun.
“Di KDN (Kementerian Dalam Negeri) ada agensi yang membabitkan perkhidmatan kaunter dan paling popular ialah Jabatan Imigresen, ada Jabatan Pendaftaran dan sebagainya.
“Ya banyak sistem (kaunter perkhidmatan) adalah berasaskan secara langsung dengan rakyat (di KDN),” katanya selepas menyampaikan ucap tama Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE) di sini semalam.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam melakukan pusingan kerja petugas kaunter meliputi kakitangan yang berkhidmat lebih lima tahun kerana tempoh tersebut amat lama serta tidak bersesuaian selain boleh menyebabkan tekanan.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, tujuan asal operasi kaunter bagi membaiki dan mempercepatkan sistem penyampaian.
Malah, katanya, operasi kaunter sewajarnya dapat mewujudkan iklim kerja yang lebih kondusif kepada petugas dan mereka sepatutnya tidak boleh terlalu lama berada di situ.
“Yang penting, ia harus berasaskan rakyat dan kalau itu dapat kita lakukan, saya sangat yakin kita akan dapat merasai perubahan yang akan dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Saifuddin menempelak Sekretariat Rakyat Benci Rasuah kerana mendakwa tempat awam kononnya tiada pemilik.
Beliau malah mempersoalkan semula penganjur itu di manakah tempat di negara ini yang tiada pemilik tanah.
“Tempat awam itu di mana? Betulkah tempat itu tidak ada pemilik? Setiap premis mesti ada pemilik dan beritahu saya di tempat awam mana yang tiada pemilik,” katanya.
Semalam, penasihat undang-undang Sekretariat Rakyat Benci Rasuah, Zaid Malek mempersoalkan tindakan pihak polis yang meminta mereka ada persetujuan pemilik selepas mereka mahu menganjurkan perhimpunan di luar kompleks Sogo menuju ke Dataran Merdeka.
Notis pemberitahuan yang dihantar mereka pada 15 Januari lalu untuk himpunan Sabtu ini didakwa kononnya memenuhi syarat tanpa perlu persetujuan pemilik kawasan terlibat.
Saifuddin malah hairan dengan dakwaan sekretariat itu kerana premis terbabit memang jelas di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penganjur perhimpunan mesti mendapatkan keizinan pihak berkuasa tempatan itu. – UTUSAN











