MCW jadi ‘polis trafik’ semasa pilihan raya - Utusan Malaysia

MCW jadi ‘polis trafik’ semasa pilihan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan oleh sekumpulan rakyat Malaysia pada 2017 dengan moto Komited, Agresif, Perangi Rasuah.

Presidennya, JAIS ABDUL KARIM sering menerima jemputan sebagai penceramah dan ahli panel forum topik berkaitan integriti dan antirasuah di seluruh negara.

Walaupun tidak pernah terlibat secara langsung dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, AHMAD FADHLULLAH ADNAN melahirkan keinginan yang tinggi untuk mendalami ilmu integriti dan antirasuah.

Baginya, ia adalah sesuatu yang amat menarik untuk dikongsi bersama masyarakat.

Siapa ahli MCW?
JAIS: Ahli MCW adalah anggota masyarakat awam yang amat berminat dengan perjuangan antirasuah. Majoriti mereka ahli perniagaan daripada pelbagai kaum dan agama serta mempunyai pegangan politik yang berbeza-beza.

Kesemua individu yang dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Tertinggi MCW pada 16 September tahun lalu juga terdiri daripada masyarakat awam yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing terutamanya NGO di negara ini.

Selain itu, mereka yang dilantik juga terdiri daripada pelbagai profesion dan berminat memberikan komitmen dalam perjuangan antirasuah bersama MCW.

Pencapaian MCW dalam membanteras rasuah?
MCW berjaya melaksanakan 400 inisiatif dalam tempoh tiga tahun ini (termasuk pelaporan kes dan tiga program antarabangsa) yang disiarkan dalam pelbagai medium media sosial.

MCW membuat hebahan berita, maklumat atau pesanan khidmat masyarakat berkaitan rasuah dan memastikan seramai 5,000 individu menerima mesej atau berita yang diviralkan menerusi WhatsApp pada setiap hari.

Ada terima aduan berkaitan rasuah daripada orang ramai?
Pernah dan selalu. SPRM mengajar kami kaedah mengendalikan laporan kes rasuah dengan berkesan dalam memastikan pemberi maklumat sentiasa dilindungi undang-undang.

Segala laporan itu adalah amat rahsia dan telah kami panjangkan kepada agensi penguat kuasa berkenaan seperti SPRM sendiri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau agensi penguat kuasa lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan juga Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).

Ada juga kes yang kami laporkan terus kepada kerajaan bersama memorandum cadangan mengenai kaedah untuk mengatasi masalah tersebut.

Dalam berdepan cabaran pandemik Covid-19, adakah desakan ekonomi menyebabkan rasuah berlaku lebih meluas?
Tiada kajian khusus berkenaan situasi rasuah di Malaysia. Pada pandangan mata kasar, kelihatan rasuah berkurangan kerana rakyat kurang bergerak dan kebanyakan perniagaan juga kelihatan tidak berjalan.

Pada pandangan MCW, masalah rasuah yang berkaitan desakan ekonomi belum lagi mengambil tempatnya di Malaysia kerana penjawat awam tidak langsung terkesan berikutan pendapatan mereka cukup stabil.

Penjawat awam dikatakan paling banyak melakukan rasuah kerana mereka mempunyai ruang dan peluang untuk melakukannya.

Punca utama mereka mengambil rasuah adalah kerana ketamakan, bukannya ketidakcukupan pendapatan.

Sebagai pemerhati, apa peranan MCW bagi membantu SPRM dalam mencegah rasuah?
MCW komited untuk menarik masyarakat bersama-sama dalam perjuangan membanteras rasuah di negara ini. Mereka akan dimotivasi dan dilatih menjadi mata dan telinga SPRM dalam hal berkaitan pelaporan kes. Kami juga mengeluarkan kenyataan akhbar bagi menyokong segala usaha baik SPRM bagi menunjukkan bahawa usaha SPRM dihargai dan disokong oleh rakyat. MCW sentiasa mahu menganjurkan program pendidikan pencegahan rasuah kepada rakyat dan penjawat awam agar perlakuan rasuah dapat dikekang.

Bagaimana prestasi SPRM dalam membanteras rasuah?
Prestasi SPRM sekarang ini berada dalam landasan yang terbaik. Kita beri 8 per 10. SPRM perlu menyegerakan siasatan sesuatu kes yang dilaporkan kerana ada rakyat atau pengadu kes yang menyatakan bahawa SPRM tidak memberi respons kepada laporan mereka walaupun setelah setahun membuat laporan.

Rakyat sedikit hairan, mengapa kes kerajaan hanya disiasat apabila kerajaan itu telah tumbang dan kemudiannya diganti dengan kerajaan lain. Rakyat berpendapat, kes-kes melibatkan kerajaan semasa yang perlu diberi keutamaan. Ia perlu diselesaikan segera bagi memastikan ketelusan.

Nama SPRM itu sendiri perlu ditukar menjadi Suruhanjaya Penyiasatan Rasuah Malaysia supaya SPRM benar-benar fokus. Maka tak timbul lagi rungutan berkenaan kekurangan kakitangan dan sebagainya.

Tugas-tugas pencegahan dan pendidikan bolehlah diserahkan kepada agensi lain seperti Institut Integriti Malaysia (IIM) dan NGO-NGO yang komited, berminat dan berkemampuan. Terdapat sedikit penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi membolehkan prestasi SPRM dioptimumkan lagi.

Apa penambahbaikan perlu dilakukan oleh SPRM?
MCW telah berpeluang bertemu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, pada bulan Jun lepas dan membentangkan 38 cadangan kepada beliau. Cadangan tersebut menyentuh tentang penambahbaikan SPRM, kuasa autonomi dan diiktiraf sebagai sebuah badan perlembagaan sendiri dibawah Parlimen.

Setiap rakyat yang berminat dengan perjuangan antirasuah perlulah diberikan latihan yang sewajarnya untuk membantu SPRM. Pihak SPRM digesa melakukan tindakan yang perlu bagi memastikan kehakiman mengenakan hukuman penjara mandatori keatas setiap perasuah sebagai menghantar mesej keras antirasuah kepada semua pihak.

SPRM perlu menyediakan mekanisme pemantauan khas dalam memastikan penjawat awam yang berisiko tinggi rasuah membuat pusingan kerja atau rotation bagi menghindarkan mereka daripada terjebak. Ahli MCW yang berada dalam pelbagai lapangan bersedia untuk memerah otak bagi memberikan pelbagai idea kepada SPRM pada masa hadapan.

Dakwaan sogokan ahli politik pada waktu pilihan raya, bagaimana boleh ditangani?
Di sinilah pentingnya fungsi rakyat. Rakyat mesti menjadi mata dan telinga SPRM. Kita mesti berani tampil melaporkan kes seperti ini dengan bukti yang jelas. Ahli politik juga perlu diberikan kesedaran tentang bahayanya pemberian sogokan dalam pilihan raya.

Penerima sogokan itu adalah mereka yang tidak pernah puas dan akan menjadikan mereka hamba politik buat selamanya. Ahli politik boleh menarik undi melalui cara lain yang lebih berintegriti. MCW akan meneruskan peranan sebagai ‘polis trafik’ dalam memastikan niat dan perbuatan memberi sogokan ini dapat dikekang semasa pilihan raya berlangsung.

Apa suara yang boleh dibawa oleh MCW kepada kerajaan dan rakyat?
MCW komited untuk mendapatkan pelbagai kaedah terkini dari seluruh dunia yang sesuai dengan situasi di negara ini.

Kami bersedia menyampaikan pelbagai memorandum cadangan kepada kerajaan demi memastikan sesuatu masalah itu dapat diselesaikan dengan tuntas.

Rakyat akan sentiasa dihidangkan dengan segala informasi dan berita berkaitan pencegahan rasuah dari seluruh dunia agar dapat membandingkannya dengan pencapaian kita di Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×