BANGKOK: Sekumpulan 49 pendatang Rohingya yang melakukan perjalanan dengan bot dari Bangladesh menuju ke Malaysia ditemukan berhampiran kawasan pantai di pulau popular Thailand, Phuket, lapor polis.
Kumpulan itu ditemui oleh penduduk berhampiran kuil Ta Chat Chai di Phuket dalam keadaan lemah dan tidak bermaya, menurut laporan media tempatan.
“Komuniti menemui 49 Rohingya dan kami membawa mereka ke balai polis,” kata Pegawai Kanan Polis, Sopit Ruangsri kepada AFP.
Menurut Sopit, kumpulan itu memberitahu polis melalui penterjemah bahawa mereka telah meninggalkan Bangladesh bersama 75 yang lain dalam usaha untuk sampai ke Malaysia, tetapi mendakwa ramai yang diserang dan maut semasa dalam perjalanan.
Mereka kini berada di tempat perlindungan sementara di bawah jagaan pihak berkuasa Thailand dan akan dihantar ke negara ketiga, namun pegawai belum menyatakan lokasinya.
Polis dengan kerjasama kementerian dalam negeri, telah menyediakan makanan, air dan bantuan perubatan kepada kumpulan itu.
Jika ditangkap, pendatang Rohingya sering dihantar ke pusat tahanan yang menurut kumpulan hak asasi manusia biasanya terlalu sesak dan kotor.-AFP










