Jangan sesekali cabar lagi kesucian Islam

Jangan sesekali cabar lagi kesucian Islam

DALAM isu ‘panas’ ini, perkataan ham tidak boleh wujud secara tunggal tanpa sebarang keterangan lain dalam bahasa Inggeris seperti chicken ham. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bantahan etnik Cina terhadap etnik Melayu yang bangkit merengus ekoran isu sandwich ham dan keju yang disertai logo halal, bukan sahaja amat meleset. Ini kerana ia kesalahan serius, malah sangat serius sekali.

Selain pembekalnya tidak mempunyai sijil halal yang sah, penggunaan perkataan ham sahaja pada label sandwich itu tidak sepatutnya sesekali berlaku.

Bantahan itu sangat memudaratkan keadaan hubungan etnik Melayu-Cina yang tidak pernah baik dalam erti kata yang sebenarnya. Sudah tentu penggunaan logo halal yang tidak sah itu merupakan penipuan terbuka. Oleh itu, sangat wajar sekali apabila etnik Melayu-Islam amat berangsang dalam isu ini.

Walaupun sudah ternyata ‘ditangkap basah’, iaitu dicekup bulat-bulat semasa melakukan kesalahan, etnik Cina melalui pemimpin mereka yang tertentunya masih mahu menegakkan benang basah. Ini antaranya dilakukan dengan menyerang pemimpin Melayu yang bangkit bersuara. Pada mereka, menjadi kesalahan untuk etnik Melayu bertindak sedemikian keras.

Isu ini mereka hujahkan dengan mengatakan ham tidak semestinya hanya daripada daging khinzir. Ia boleh sahaja diperbuat daripada daging ayam, ayam belanda dan juga kambing selain lembu. Hal ini memang betul. Akan tetapi oleh sebab ham boleh wujud dalam pelbagai kelainan, perkataan ayam, ayam belanda, kambing dan lembu wajib digunakan untuk menerangkan sumbernya yang sebenar.

Inilah caranya di mana-mana pun, waima di negara yang penduduknya rata-rata bukan pun merupakan umat Islam. Ini penting agar pengguna dapat membuat pilihan tepat tanpa sebarang keraguan, sama ada atas faktor agama atau lain-lain.

Malang sekali, terdapat sebilangan etnik Melayu-Islam, sudah tentu yang sangat liberal, yang ikut menyelar rakan sebangsa dan seagama mereka yang amarah dalam isu ini. Mereka digelar sebagai bukan sahaja sangat konservatif. Malah amat kolot kerana tidak mahu mengamalkan Islam yang progresif dalam zaman moden ini.

Sehubungan ini, etnik Melayu-Islam sangat liberal memegang kuat kepada dalil, malah dalih bahawa ham boleh sahaja dibuat daripada bukan daging khinzir.

Oleh itu, tidak ada apa-apa salah pun, waima ia boleh melibatkan sensitiviti etnik Melayu-Islam di bumi watan mereka sendiri.

Dalam isu ini, ham wujud dalam perkataan tunggal sahaja tanpa sebarang keterangan lain dalam bahasa Inggeris yang digunakan itu. Ia sepatutnya wujud dalam ungkapan chicken ham seperti yang didakwa oleh pembekal bahawa ia adalah ham ayam dan bukannya ham khinzir.
Inilah kegagalan besar yang berlakunya kesalahan sangat serius. Ia tidak boleh sesekali dimaafkan dengan sewenang-wenangnya.

Dengan ini, ia bukan sahaja telah mengelirukan masyarakat awam, termasuk yang bukan Melayu-Islam yang tidak memakan daging khinzir atas sebab tertentu.

Jauh lebih kritikal lagi ialah ia sudah membangkitkan kemarahan etnik Melayu-Islam. Ini kerana sensitiviti yang begitu sangat penting kepada etnik Melayu-Islam langsung gagal difahami etnik bukan Melayu-Islam, meskipun sudah lama bermastautin di bumi Melayu-Islam ini.

Sebenarnya hujah etnik Cina terang-terangan memperlihat betapa jahilnya pemimpin mereka. Kejahilan ini bukan sahaja tentang Islam biarpun mengenai hal yang amat asas sekali, iaitu khinzir dan apa-apa yang terjadi daripada haiwan larangan ini adalah tidak suci untuk umat Islam.

Dalam hal ini, juga menunjukkan pemikiran sangat dangkal selain amat tidak bertanggungjawab. Antaranya dengan melakukan serangan peribadi yang tiada kaitan pun dengan isu terbabit.

Sesungguhnya etnik Cina amat takut kepada tindak balas agresif lagi negatif daripada etnik Melayu-Islam pada kali ini. Sehubungan ini juga, mereka sangat mengetahui permohonan maaf tidak akan diterima lagi oleh etnik Melayu. Ini kerana perbuatan tidak sensitif kepada kesucian agama Islam sangat kerap berlaku kini dan dalam waktu singkat pula, selain dilakukan oleh pihak yang sama.

AKUI KESALAHAN
Natijahnya dalam hal ini ialah etnik Cina selain sewajarnya bersikap jujur untuk mengakui kesalahan yang berlaku, adalah keperluan untuk betul-betul insaf dan berjanji agar ia tidak akan sesekali berlaku lagi. Ia wajib dikotakan kali ini dengan mereka benar-benar memperlihat keinsafan tulen.

Malangnya yang sebaliknya berlaku, iaitu mereka bukan sahaja dengan cepat, juga lantang melawan balik walaupun mereka secara terang lagi bersuluh telah melakukan kesalahan sangat besar. Sebenarnya sikap buruk begini sangat perlu diubah segera untuk menjaga keharmonian demi pemupukan perpaduan negara yang erat lagi utuh.

Sebenarnya pemimpin Cina turut mempolitik selain mensensasikan isu ini untuk manfaat politik bagi diri sendiri dan parti politik mereka. Dalam hal ini, mereka juga tiada beza langsung dengan apa-apa yang mereka tuduh, malah tohmahkan kepada pemimpin Melayu. Ia ibarat periuk mengatakan belanga hitam, iaitu pihak Cina yang memburukkan pihak Melayu, sedangkan mereka sendiri juga buruk sikapnya, malah lebih teruk lagi.

Sehubungan isu ini, sebenarnya tidak timbul langsung unsur mempolitik dan mensensasikannya oleh etnik Melayu-Islam. Ia lebih kepada tindak balas wajib daripada etnik Melayu-Islam untuk melindungi agama mereka setelah dicabar kesuciannya.

Dalam hal ini, etnik Melayu-Islam tidak boleh sesekali dipersalah. Ini kerana tindak balas mereka bukan sahaja bersifat spontan lagi natural apabila kesucian agama mereka dinodai. Juga ia kewajipan fardu setiap umat Islam untuk mati-matian mempertahan agamanya.

Justeru langsung tidak patut timbul tuduhan tidak benar bahawa etnik Melayu- Islam angkuh, membuli, terlalu sensitif, membesar-besarkan perkara remeh, selain tidak bijak dalam memahami kepelbagaian sumber ham.

Sesungguhnya dalam hal ini, etnik Melayu-Islam di negara ini adalah kelompok paling waras selain amat penyabar. Ini kerana mereka tidak terus bertindak balas dengan melakukan perkara yang tidak diingini. Ini bukan sahaja patut disedari sebaik-baiknya, juga dihargai setinggi-tinginya oleh etnik Cina.

Walaupun begitu, mereka ada had menahan berang sebelum akhirnya bangkit untuk bertindak menentang musuh sehingga titisan darah terakhir. Oleh itu, hentikanlah segera-segala apa sahaja yang boleh mencabar entiti Melayu-Islam, khususnya agama suci Islam.

Ini kerana etnik Melayu adalah kelompok etno- agama pertama-tamanya dan yang sangat amat kuat pula.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×