GUA MUSANG: Sekumpulan penduduk Orang Asli di Kampung Pasik di sini, mengambil inisiatif sendiri dengan membaiki jalan yang rosak akibat hujan sejak seminggu lalu.
Wakil penduduk, Mohd. Sani Nahtiman berkata, usaha itu bagi membolehkan mereka keluar dari penempatan untuk membeli barangan keperluan dan melakukan pelbagai urusan lain di Bandar Gua Musang.
“Hujan lebat berterusan menyebabkan keadaan jalan semakin teruk yang menyukarkan kami penduduk keluar dari perkampungan.
“Kami harap jalan yang rosak ini dapat diselenggara secepat mungkin untuk kemudahan dan keselamatan penduduk keluar serta masuk ke perkampungan Orang Asli,” katanya di sini semalam.
Mohd. Sani berkata, setiap kali musim hujan, penduduk terpaksa meredah perjalanan dengan jarak 40 kilometer dalam tempoh lapan jam untuk ke laluan utama.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, masalah tersebut telah diajukan kepada agensi terlibat untuk menyelesaikannya.
“Saya sendiri sudah melalui jalan ini dan melihat keadaan jalan. Mereka terpaksa melalui jalan yang berbatu di kawasan ladang dan jalan tanah merah sebelum sampai ke perkampungan mereka.
“Insya-Allah saya akan cuba untuk membantu membawa masalah ini kepada agensi kerajaan untuk kelulusan menaik taraf jalan,” katanya.-UTUSAN










