Pendingin hawa mesra alam pertama dunia - Utusan Malaysia

Pendingin hawa mesra alam pertama dunia

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif WKL Group, Dr Low Wai Koon (dua dari kiri) melancarkan Evoair-Sistem Pengesanan Udara Ekofrien pada pendingin hawa, di sini, hari ini. GAMBAR-MOHD FARIZWAN HASBULLAH / PEMBERITA-DALIZA / SUHANA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memasang penghawa dingin dalam kediaman ketika musim panas memang sangat menyamankan.

Oleh itu, alat penghawa dingin itu sendiri dilihat bukan lagi kemewahan tapi bagaikan keperluan tiap kediaman pada masa kini ekoran suhu yang semakin meningkat.

Namun, dalam menikmati kelegaan itu sebenarnya menjadi punca kepada peningkatan haba bumi yang menjadi lebih panas setiap tahun.

Mana tidaknya, setiap kali menggunakan penghawa dingin sebenarnya hanya kita yang merasai kedinginan dan kelegaan, namun persekitaran luar ‘terseksa’ dengan haba panas yang dilepaskan oleh alat berkenaan yang akhirnya menyumbang kepada peningkatan suhu bumi.

Prihatin dengan isu itu, WKL Group tampil dengan hasil inovasi terbaharu mereka, evoair yang merupakan penghawa dingin mesra alam pertama di dunia menggunakan teknologi Sistem Kawalan Pertukaran Panas (HECS).

HECS yang dibangunkan dengan dana RM8 juta berperanan mengubah fungsi pemeluwap penghawa dingin (unit luar) menjadikan sisa buangan yang dikeluarkan bersuhu sejuk dan udara dilembapkan. Dengan kata lain, ia mengubah pemeluwap penghawa dingin menjadi unit penyejuk tambahan yang berfungsi seperti penyejuk udara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Low Wai Koon berkata, inovasi itu direka untuk mentakrifkan semula sistem penyaman udara yang mana ia bukan sahaja bermanfaat bagi unit dalaman malah luaran juga.

“Tidak terhad untuk diletakkan di luar rumah seperti penghawa dingin konvensional, pengguna kini bebas memilih mana-mana ruangan didalam rumah untuk meletak pemeluwap hawa dingin sama ada di taman, balkoni atau dapur yang berfungsi sebagai unit penyejuk tambahan.

“Ini sebahagian inisiatif kami mengatasi perubahan iklim dan kami akan memainkan peranan penting dan sumbangan positif untuk memulihkan bumi kita,” katanya ketika majlis pelancaran produk terbaharu itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pelancaran itu juga bersempena sambutan Hari Bumi tahun ini. Biarpun dunia masih bergelut dengan peperangan melawan pandemik virus COVID-19, namun isu pemanasan global tetap sahaja menjadi antara fokus penting yang perlu diberi perhatian.

Tambah Wai Koon, produk berkenaan turut memberi penjimatan elektrik sekitar yang baik sekitar 20 peratus pada waktu pagi dan akan terus meningkat kepada 45 peratus pada waktu tengah hari.

Dilancarkan tepat pada masanya
Pelancaran alat kelengkapan rumah mesra alam ini turut dilihat sebagai tepat pada masa dalam usaha memulihara bumi yang semakin menjangkau status ‘nazak.’

Dianggarkan sebanyak 1.9 bilion penghawa dingin digunakan di seluruh dunia pada tahun 2020 berbanding hanya 1.6 bilion pada 2016. Malah lebih membimbangkan, menurut Agensi Tenaga
Antarabangsa,jumlah itu dijangka akan meningkat tiga kali ganda menjelang tahun 2050 iaitu sebanyak 5.6 bilion.

Ini bermakna, sebanyak 10 penghawa dingin baharu akan dijual setiap saat untuk 30 tahun akan datang yang boleh dianggap sebagai ancaman besar kepada ekosistem selain menjadi penyumbang besar kepada perubahan iklim.

Pengarah Eksekutif WKL, Kevin Chan menambah, teknologi HECS mampu mengurangkan kesan terhadap alam sekitar kerana mampu melepaskan udara yang lebih sejuk dan lembap pada suhu lebih kurang 25 Celsius dan kelembapan lebih kurang 58 peratus ke persekitaran luar. Ia sekaligus sesuai untuk hidupan dan tumbuhan sambil memberi sumbangan positif kepada kelestarian alam.

Berbanding dengan pemewulap penghawa dingin konvensional yang mengeluarkan haba terbuang pada suhu 55 celsius dan kelembapan hanya sekitar 20 peratus yang dikategorikan tidak sihat kepada persekitaran.

“Kajian yang kami lakukan mendapati pemewulapan jenis konvensional jika diletakkan di hadapan pokok akan menyebabkan tumbuhan itu mati atau layu dalam masa yang singkat kerana hawa yang cukup panas.

“Tetapi pemewulapan yang diinovasi oleh kami itu tidak memberikan efek sebegitu sekali gus membuktikan haba yang dilepaskan adalah sejuk dan tidak membahayakan,” jelasnya yang menambah penyelidikan dan pembangunan telah dijalankan selama 12 tahun.

Produk itu dijangka berada di pasaran tidak lama lagi dan bakal mendapat sambutan memberangsangkan melalui tempahan domestik yang diterima.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×