Iran bina pangkalan tentera laut bawah tanah 

Iran bina pangkalan tentera laut bawah tanah 

ASKAR dari unit tentera Iran menyertai perarakan tentera di Teheran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Pasukan tentera laut Kor Pengawal Revolusi Iran melancarkan pangkalan bawah tanah yang menempatkan puluhan bot penyerang yang dilengkapi peluru berpandu.

Televisyen negara melaporkan, lokasi sebenar kemudahan itu tidak didedahkan, namun didakwa terletak di perairan strategik di selatan Iran, merangkumi Teluk, Selat Hormuz dan Teluk Oman.

Menurut laporan, pangkalan tersebut terletak 500 meter di bawah tanah dan dibina untuk meningkatkan keupayaan tentera laut Iran di laluan air utama itu.

Laporan turut menegaskan, beberapa kapal yang ditempatkan di pangkalan baharu itu mampu memusnahkan kapal perang dan pemusnah Amerika Syarikat (AS).

Rakaman yang disiarkan oleh televisyen negara menunjukkan Ketua Pengawal, Jeneral Hossein Salami melawat kemudahan tersebut bersama Komander Tentera Laut, Laksamana Muda Alireza Tangsiri.

“Kami memberi jaminan kepada negara besar Iran bahawa anak-anak muda mereka mampu keluar dengan terhormat dan menang daripada pertempuran di lautan menentang musuh besar dan kecil,” kata Hossein.

Pendedahan itu dibuat menjelang pelantikan untuk penggal kedua Presiden terpilih AS, Donald Trump.

Semasa penggal pertama, Trump mengamalkan dasar tekanan maksimum terhadap Iran, menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 dan mengenakan semula sekatan yang meluas.

Susulan ancaman Trump dan kemunduran dialaminya di Asia Barat, Iran meningkatkan usaha untuk mengukuh keupayaan ketenteraan.

Satu perkembangan penting ke arah itu adalah pemeteraian perjanjian perkongsian strategik komprehensif antara Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dan Presiden Russia, Vladimir Putin pada Jumaat lepas.

Dalam perjanjian itu, Moscow dan Teheran berjanji untuk bekerjasama menentang ancaman ketenteraan dan mengambil bahagian dalam latihan bersama serta membangunkan kerjasama teknikal ketenteraan mereka.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×