TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memberi amaran gencatan senjata di Gaza yang dijadualkan petang ini tidak akan dikuatkuasakan sekiranya Hamas gagal menyerahkan senarai tebusan untuk dibebaskan.
Dalam satu kenyataan, pejabat Netanyahu memaklumkan beliau telah mengarahkan pasukan tentera Israel (IDF) untuk menangguhkan gencatan senjata sehingga senarai tersebut diterima.
“Gencatan senjata yang dijadualkan bermula pada 8.30 pagi (waktu tempatan) tidak akan dikuatkuasakan sehingga Israel menerima senarai tebusan seperti yang dijanjikan Hamas,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Hamas dalam kenyataannya menegaskan komitmen mereka terhadap syarat gencatan senjata tersebut.
Bagaimanapun, kelewatan dalam menyerahkan senarai nama yang terlibat didakwa berpunca daripada ‘sebab teknikal’.
Semalam, Netanyahu turut memberi amaran pertukaran tahanan Palestin dengan tebusan yang dijadualkan hari ini tidak akan berlaku jika senarai tebusan tidak diserahkan.
Tambah beliau, Israel berhak menyambung semula operasi ketenteraan jika perlu, dengan sokongan daripada Amerika Syarikat (AS).
Gencatan senjata kali ini, menurut Netanyahu, adalah bersifat ‘sementara’.
Usaha mencapai gencatan senjata ini melibatkan rundingan sukar selama berbulan-bulan yang dimediasi oleh Qatar, Mesir, dan AS
Tentera Israel mula berundur dari kawasan di Rafah Gaza ke koridor Philadelphi di sepanjang sempadan antara Mesir dan Gaza, lapor media pro-Hamas awal pagi ini.
Namun Tentera Israel berkata, pihaknya terus melakukan serangan di Gaza, menegaskan bahawa gencatan senjata dengan Hamas masih belum berkuat kuasa.-AFP










