70 ditahan sertai perhimpunan pro-Palestin di London

70 ditahan sertai perhimpunan pro-Palestin di London

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Ribuan orang berhimpun di tengah London dalam demonstrasi pro-Palestin menjelang gencatan senjata antara Israel dan Hamas dengan lebih 70 individu ditahan polis.

Sebahagian besar ditahan atas dakwaan melanggar perimeter yang dibenarkan untuk protes tersebut berhampiran bangunan-bangunan kerajaan utama di pusat bandar London.

Gencatan senjata yang berkuat kuasa esok pagi melibatkan pembebasan tebusan warga Israel oleh Hamas dan tahanan Palestin oleh Israel, pengunduran tentera Israel dari kawasan padat penduduk di Gaza, serta peningkatan penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah yang musnah akibat perang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami sangat berharap untuk bersikap optimis mengenai gencatan senjata ini,” kata Sophie Mason, 50, seorang peserta yang kerap menyertai demonstrasi pro-Palestin di ibu negara Britain.

Jumlah tangkapan hari ini adalah yang tertinggi sejak demonstrasi pro-Palestin bermula di London pada Oktober 2023, menurut polis Metropolitan.

“Ini adalah jumlah tangkapan tertinggi yang kami rekodkan, susulan peningkatan ketara dalam jenayah.

“Penyiasatan kini sedang dijalankan dan kami akan berusaha membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan,” kata Komander Polis, Adam Slonecki, dalam satu kenyataan.

Ketika demonstrasi, peserta membawa plakad dengan slogan seperti ‘Hentikan bekalan senjata kepada Israel’ dan ‘Hentikan pembunuhan beramai-ramaidi Gaza’, sambil melaungkan ‘Dari sungai ke laut, Palestin akan bebas’.

Menurut polis, 65 penunjuk perasaan ditahan kerana melanggar syarat protes, manakala yang lain ditahan atas dakwaan kesalahan seperti menyerang, menyokong kumpulan yang diharamkan dan menghalang tugas polis.

Serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 telah mencetuskan perang Hamas-Israel, menyebabkan 1,210 kematian di Israel.

Daripada 251 tebusan yang ditahan, 94 masih berada di Gaza, termasuk 34 orang yang menurut tentera Israel telah meninggal dunia.

Kempen serangan balas Israel telah memusnahkan sebahagian besar Gaza, mengorbankan 46,899 orang, kebanyakannya orang awam, menurut angka kementerian kesihatan wilayah itu yang diuruskan Hamas dan dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN