TEL AVIV: Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir mengumumkan perletakan jawatannya serta menarik diri daripada gabungan kepimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, bersama dengan parti berhaluan kanan pimpinannya, Otzma Yehudit.
Menurut kenyataan rasmi parti itu yang disiarkan oleh Pihak Berkuasa Penyiaran Israel (IBA), langkah itu dibuat susulan kelulusan perjanjian ‘tidak bertanggungjawab’ dengan Hamas.
“Parti Otzma Yehudit akan menyerahkan surat peletakan jawatan daripada gabungan esok pagi. Menteri-menteri parti, Ben-Gvir, Yitzhak Wasserlauf, dan Amichai Eliyahu, serta pengerusi-pengerusi jawatankuasa Knesset seperti MK Zvika Fogel, Limor Son Har-Melech, dan MK Yitzhak Kroizer akan meletakkan jawatan,” menurut kenyataan tersebut.
Terdahulu pada Khamis, Ben-Gvir menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Keselamatan Negara dan menarik parti pimpinannya daripada gabungan tersebut sekiranya perjanjian itu diluluskan.
Israel telah meluluskan perjanjian gencatan senjata serta pertukaran tawanan di Gaza pada lewat Jumaat selepas mesyuarat Kabinet yang berlangsung selama beberapa jam, lapor penyiar awam Israel, KAN.
Ben-Gvir juga dilaporkan cuba memujuk Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich, yang juga figura haluan kanan, untuk meletakkan jawatan bersamanya sekiranya perjanjian itu diteruskan namun beliau hanya membantah perjanjian itu dalam undian Kabinet Keselamatan pada Jumaat dan awal Sabtu.
Dengan pengunduran parti yang memiliki enam kerusi, gabungan Netanyahu kini kehilangan sebahagian kecil majoritinya di mana gabungan semasa terdiri daripada 68 kerusi daripada parti haluan kanan, ultra-ortodoks Haredi dan haluan kanan ekstrem.
Selepas pengunduran tersebut, gabungan itu masih mempunyai 62 kerusi, cukup untuk mengekalkan majoriti di Knesset.
Dalam perkembangan berkaitan, Qatar mengumumkan perjanjian gencatan senjata tiga fasa pada Rabu lalu bagi menamatkan lebih 15 bulan serangan maut Israel ke atas Gaza, dengan gencatan kuasa itu dijadual bermula jam 8.30 pagi (waktu tempatan).
Sehingga kini, lebih 47,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh manakala lebih 110,700 lagi cedera dalam perang genosid Israel di Gaza sejak 7 Oktober 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan. -AGENSI









