Sebar nilai murni dengan pantun

Sebar nilai murni dengan pantun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELETAH si cilik ini sering mencuit hati ramai terutama dengan kebolehannya berpantun dalam loghat Negeri Sembilan.

Raja Muhammad Mikael Raja Faizul, 10, atau mesra disapa Ku Mika mula menghafal pantun-pantun yang mengandungi nilai-nilai murni, keagamaan dan sejarah Islam sejak berusia tiga tahun.

Bapanya, Raja Faizul Raja Shahriman, 49, berkata, pendekatan itu diambil bagi mengurangkan masa skrin, sekali gus menanamkan nilai-nilai positif dalam diri anak-anak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kebanyakan pantun yang diajar tidak hanya berbentuk hiburan, tetapi membawa maksud mendalam.

“Melalui pantun, mereka belajar tentang sejarah keluarga Rasulullah dan diingatkan tentang amalan-amalan baik.

“Biasanya saya bacakan pantun itu ketika waktu tidur, secara tidak langsung mereka dapat menghafal dan menghayati nilai-nilai keagamaan yang disampaikan,” katanya.

Bukan itu sahaja, Raja Faizul turut menjadikan pantun sebagai lagu dendangan untuk mendodoi anak-anaknya sejak kecil.

Berkongsi mengenai aktiviti anak-anaknya, katanya, seni berpantun menjadi jambatan dalam menghubungkan tradisi dan teknologi.

Sebagai bapa kepada tiga cahaya mata, fokus utamanya bukanlah untuk mengejar populariti, tetapi menjadikan pantun sebagai medium untuk menyampaikan nilai-nilai murni kepada masyarakat.

Selain untuk mendidik anak-anak, medium itu juga dapat memelihara hubungan kekeluargaan serta menanam nilai-nilai keagamaan.

“Tujuan saya menghasilkan kandungan-kandungan pantun adalah untuk memupuk kesedaran bukan sahaja kepada anak saya, tetapi masyarakat umum,” katanya.

TINGKATKAN KEYAKINAN DIRI
Menurut Raja Faizul, dunia media sosial memainkan peranan penting dalam membentuk keyakinan diri anak-anaknya, sekali gus memperkenalkan bakat mereka kepada khalayak.

Katanya, Ku Mika juga dapat belajar untuk berinteraksi dengan orang ramai dan mengasah kemahiran berkomunikasi.

Pengalaman itu bukan sahaja mengajar anaknya tentang seni berpantun, tetapi juga memberi peluang untuk meningkatkan keyakinan diri.

“Media sosial seperti TikTok dan YouTube, menjadi platform untuk Ku Mika belajar mengekspresikan diri, berinteraksi dengan orang luar dan berlatih berkomunikasi secara lebih yakin.

“Dulu, Ku Mika sangat pemalu apabila bercakap di hadapan orang ramai, namun kini, dia sudah berani tampil di pentas dan di media sosial.

“Malah, dia lebih terbuka untuk berkongsi apa sahaja yang diketahuinya,” ujarnya.

Raja Faizul berkata, pengikut-pengikut di media sosial bukan sahaja menyampaikan komen-komen positif, bahkan turut menjadi pembakar semangat anaknya untuk terus berkarya.

Justeru, melalui platform ini, Ku Mika telah menemui cara untuk mengembangkan potensi dirinya dan memberi inspirasi kepada rakan-rakan seusia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini