Tiada jejantas, penduduk guna laluan kereta api

Tiada jejantas, penduduk guna laluan kereta api

MOHD. Saferi Salleh menunjukkan kawasan lintasan haram jalan kereta api yang digunakan penduduk berdekatan pekan Mela di Mela, Lipis, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Kira-kira 200 penduduk di Kampung Mela, di sini meminta dibina jejantas untuk keselamatan bagi menyeberangi lintasan kereta api di penempatan itu.

Penduduk terpaksa menanggung risiko keselamatan menyeberang lintasan berkenaan untuk menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Mela, beribadat serta majlis keagamaan di masjid termasuk sebilangan rumah penduduk di situ.

Penduduk di seberang lintasan itu juga perlu melintas untuk urusan seharian seperti berbelanja di pekan Mela, berulang-alik ke kelas tadika, Pusat Internet Desa (NADI), perpustakaan desa, taman permainan, klinik kesihatan, berurusan di Pejabat Penghulu Mukim Cheka Satu dan menziarahi saudara-mara di kawasan perumahan berdekatan pekan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penduduk Kampung Mela, Mohd. Safri Salleh, 44, berkata, sudah menjadi rutin harian penduduk berulang-alik melintas jalan kereta api di situ kerana lebih dekat dan menjimatkan masa.

“Walaupun sudah ada jejantas dibina pada 1990 yang menghala keluar ke jalan utama bandar Kuala Lipis dan Jerantut dari pekan Mela, penduduk di kedua-dua kawasan terpaksa menggunakan laluan yang jauh termasuk pejalan kaki. 

“Kami memohon pihak berwajib membina sebuah jejantas sekurang-kurangnya untuk pejalan kaki dan laluan motosikal atau sebarang laluan alternatif yang lebih dekat lagi perhubungan antara kedua-dua kawasan. Ia supaya lebih selamat dan cepat terutama ketika waktu pagi dan tengah hari,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Kampung Mela, Mohd. Nizar Yaakob berharap pihak berwajib menerima pandangan penduduk di situ dan lebih cakna risiko keselamatan ketika melintas laluan tersebut.

“Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPPK) telah mengambil inisiatif memantau serta mengatur penduduk dan murid melintas mengikut jadual tren KTMB yang singgah di Stesen Kampung Mela di samping kerap memberikan nasihat supaya berwaspada yang menggunakan laluan itu,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini