300 penduduk ‘menderita’ serangan lalat

300 penduduk ‘menderita’ serangan lalat

ASMADI Mohamad menunjukkan lalat yang terperangkap pada gam pelekat di rumahnya di Kampung Pasir Sotong, Pasir Puteh, Kelantan. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Lebih 300 penduduk Kampung Pasir Sotong dan Kampung Raja Dagang di sini, ‘menderita’ selepas kawasan rumah mereka diserang lalat yang dipercayai berpunca daripada ladang ayam berdekatan, sejak seminggu lalu.

Seorang penduduk, Asmadi Mohamad, 60, berkata, pelbagai usaha dilakukan termasuk menggunakan pelekat perangkap lalat, namun hanya sia-sia.

Katanya, meskipun sudah menutup rapat pintu dan tingkap rumah setiap masa, serangga itu tetap masuk dan menghurung kebanyakan kawasan di dalam rumah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keadaan semakin teruk sejak seminggu lalu apabila kawasan tempat najis di ladang ternakan ayam menjadi tempat lalat membiak. Bau najis ayam itu semakin kuat tersebar ke kedua-dua kampung selepas banjir baru-baru ini.

“Lalat-lalat yang membiak itu ‘menyerang’ rumah penduduk yang terletak tidak jauh dari kawasan ladang ternakan tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Asmadi berkata, keadaan itu meloyakan tekak apabila lalat turut hinggap pada hidangan makanan di dalam rumah.

Seorang lagi penduduk, Rabiah Ismail berkata, sesetengah penjual makanan terpaksa menyalakan lilin untuk menghalau lalat, namun usaha tersebut turut menemukan jalan buntu.

Katanya, selain lalat, penduduk berdepan dengan pembiakan nyamuk di kawasan yang masih digenangi takungan air banjir.

“Kami sangat memerlukan bantuan pihak berkaitan untuk membasmi pembiakan nyamuk dan lalat. Mungkin kaedah pengabusan (foging) sesuai untuk membanteras pembiakan serangga tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Raja Dagang, Yusof Awang Mat berkata, keadaan itu menyebabkan penduduk rimas dan sukar untuk menghalau serangga tersebut.

“Ada penduduk terpaksa memasang hampir 50 pelekat perangkap lalat setiap hari di rumah mereka. Kaedah itu tetap tidak mampu mengurangkan jumlah lalat.

“Kami rimas dan jijik dengan situasi ini kerana sebelum ini tiada serangan lalat yang banyak di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini