SEPANG: Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang, Dengkil dekat sini, siap selepas hampir 10 tahun pembinaannya dan dijangka diagihkan kepada pemiliknya, tahun ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pembinaan kediaman berkenaan dimulakan kerajaan terdahulu pada 1 Ogos 2017 dan diteruskan kontraktor penyiap pada 8 Oktober 2021 dengan nilai kos pembangunan sebanyak RM88 juta.
“Projek PPR Ampar Tenang ini dahulunya menempatkan penghuni yang juga pekerja ladang Sime Darby. Projek ini adalah kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan (menerusi) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kerajaan Negeri Selangor yang menyediakan sebanyak 404 unit rumah PPR. Hasil kesungguhan dan kerjasama Kerajaan Madani, penantian (selama) 10 tahun ini akan berakhir,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek itu dekat sini, semalam.
PPR itu dibangunkan di atas tanah seluas 12 hektar melibatkan 34 blok rumah itu menerima sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 31 Disember lalu dan adalah penempatan semula penduduk pekerja ladang dari Ladang Prang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgely yang ditempatkan secara sementara di rumah kos rendah Taman Permata, Dengkil.
Ia merupakan kediaman teres satu tingkat berkeluasan 750 kaki persegi dengan setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air, selain memiliki kemudahan seperti dewan komuniti, taman permainan dan kawasan lapang. Ia turut menyediakan empat unit rumah bagi memenuhi keperluan golongan orang kurang upaya (OKU).
Ahli Parlimen Sepang itu berkata, setakat ini, sebanyak 292 unit selesai membuat pembayaran penuh dan selebihnya akan disusun oleh Jabatan Perumahan Negara dan kerajaan negeri secara berperingkat. – UTUSAN











