SEOUL: Korea Selatan merancang untuk menambah baik struktur menempatkan antena yang memandu pendaratan di lapangan terbangnya tahun ini.
Langkah itu diambil susulan nahas pesawat Jeju Air, yang terbabas dari landasan dan terbakar selepas melanggar struktur berkenaan pada Disember lalu.
Kementerian Pengangkutan, yang menjalankan pemeriksaan terhadap keadaan keselamatan di syarikat penerbangan dan lapangan terbang sejak insiden itu, mengumumkan langkah untuk menukar struktur yang dikenali sebagai ‘localiser’ hari ini.
Tujuh lapangan terbang domestik, termasuk Muan, didapati mempunyai tambak atau asas yang diperbuat daripada konkrit atau keluli yang perlu ditukar, kata kementerian dalam satu kenyataan.
Kementerian berkata, pihaknya akan menyediakan langkah untuk menambah baik struktur pada bulan ini dan menyasarkan ia selesai menjelang hujung tahun.
Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai penambahbaikan yang dirancang tidak dimaklumkan.
Pakar keselamatan penerbangan mengkritik penempatan benteng di lapangan terbang Muan dan menyifatkan ia mungkin punca peningkatan jumlah kematian dalam nahas tersebut.
Kerajaan juga selesai menjalankan pemeriksaan terhadap enam syarikat penerbangan domestik yang mengendalikan pesawat Boeing 737-800, dan mendaoati beberapa pelanggaran dalam kalangan pengendali.
Ini termasuk melebihi tempoh pemeriksaan sebelum dan selepas penerbangan, selain ketidakpatuhan terhadap prosedur untuk menyelesaikan kecacatan pesawat atau pendaftaran penumpang.
Kementerian Pengangkutan enggan mengulas sama ada Jeju Air termasuk dalam kalangan syarikat penerbangan yang didapati melanggar peraturan itu.
Menurut kementerian, pemeriksaan keselamatan khas terhadap kemudahan lapangan terbang utama negara juga akan diadakan antara 13 hingga 21 Januari ini.
Kerajaan turut melanjutkan penutupan lapangan terbang Muan hingga 19 Januari, kata kementerian dalam kenyataan berasingan.– REUTERS










