PETALING JAYA: Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli mengakui rekod 100 meter (m) yang dilakukannya masih belum mendapatkan pengiktirafan rasmi Olahraga Dunia (WA).
Zaidatul merupakan pemenang pingat gangsa 4x100m Sukan Asia Hangzhou berkata, apa yang penting Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengiktiraf catatan masa 11.49 saat (s) yang dilakukannya pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis, Oktober lalu.
“Saya sudah jumpa dengan Pengarah Teknikal KOM, Robert Ballard, dia sudah beri maklum balas positif kepada saya sebab ikutkan rekod kebangsaan yang saya buat 11.49s itu diiktiraf oleh KOM.
“Sekarang ini persatuan sudah hantar dokumen yang tidak lengkap itu kepada WA sebab sekarang mereka tidak bekerja dan lambat sedikit untuk kemas kini tetapi ikutkan ia diiktiraf oleh KOM. Jadi saya pun tidak risau tentang itu, alhamdulillah,” katanya.
Zaidatul terpaksa menunggu lebih lama dari bagi mendapatkan pengiktirafan daripada WA bagi rekod 100m kebangsaan diciptanya, namun Ballard memberi jaminan kepada atlet berusia 32 tahun itu bahawa perkara tersebut akan diselesaikan segera.
Atlet kelahiran Kedah itu turut berkata dia akan menyertai beberapa kejohanan pada musim ini sebagai persiapannya untuk menghadapi Sukan SEA 2025 pada Disember ini.
“Untuk perancangan saya pada tahun ini, sudah semestinya saya ingin melakukan yang lebih baik berbanding tahun lalu. Bagi catatan masa, saya tidak mahu letak sasaran (khusus) sebab tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri.
“Kejohanan pertama saya bulan depan (Februari), Super Siri Olahraga cuma masa dan tempat masih belum diketahui. Selepas itu Kejohanan Olahraga Asia di Korea Selatan dan sudah pasti saya letak sasaran (podium) dan paling penting adalah Sukan Sea di Thailand,” katanya. – UTUSAN










