TEMERLOH: Seorang suri rumah dari Taman Temerloh Jaya, di sini memerlukan RM100,000 untuk menampung kos pembedahan penyakit jantung berlubang yang dihidapnya.
Siti Nabilah Suhaimi, 34, berkata, dia terkejut apabila doktor mengesahkannya menghidap penyakit jantung berlubang kronik tiga tahun lalu dan perlu melakukan pembedahan di hospital pakar atau di Institut Jantung Negara ( IJN).
Ibu kepada empat anak itu berkata, jumlah simpanan dan pendapatan suaminya yang merupakan pekerja swasta tidak mencukupi untuk menampung kos berkenaan serta sukar menyediakannya pada masa sekarang.
“Saya disahkan menghidap penyakit jantung berlubang tiga tahun lalu dketika mengikuti prosedur pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh kerana psoitif Covid-19 di Hospital Temerloh,” katanya kepada Utusan Malaysia di rumahnya, semalam.
Menurut Siti Nabilah, doktor pakar mencadangkannya membuat pembedahan jantung segera kerana kebocoran pada dinding tengah jantung semakin membesar dan berbahaya jika menangguhkannya.
“Situasi ini membuatkan saya buntu memikirkan soal kos yang terlalu tinggi,” katanya.
Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Siti Nabila di talian 011-26950255. – UTUSAN











