Sambut hari jadi kenangan terakhir lima sekeluarga

Sambut hari jadi kenangan terakhir lima sekeluarga

LIMA sekeluarga yang maut kemalangan dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Nenasi Pantai di Nenasi, Pekan, Pahang. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Sambutan hari jadi menjadi kenangan terakhir lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 65 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin di sini, ketika perjalanan pulang membeli barangan di bandar Rompin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang kelmarin, kereta Proton Wira dinaiki lima mang­sa bertembung dengan kende­raan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina.

Mangsa yang maut ialah pemandu kereta, Hamzah Zahari, 52, penumpang hadapan yang juga isteri pemandu, Rahimah Awang Muda, 38, dan tiga anak pasangan itu yang berada di tempat duduk penumpang belakang iaitu Ainul Mardhiyah, 10, Muhammad Luqman Nur Hakim, 8, dan Muhammad Lutfi berusia empat tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemandu dan seorang penumpang MPV terbabit yang juga pasangan suami isteri ma­sing-masing mengalami kece­deraan di bahagian pinggang dan dada serta patah kaki kiri.

Ibu Rahimah, Semek Muda, 62, berkata, dia tidak menyangka majlis sambutan hari jadi di rumahnya di Kampung Sepauk di sini yang diadakan sehari sebelum kejadian menjadi pertemuan keluarga terakhir dengan lima sekeluarga terbabit.

“Kami ada berkumpul (keluarga) di rumah saya sehari sebelum kejadian sambut hari jadi cucu yang juga anak saudara kepada Rahimah.

“Arwah, suami dan tiga anaknya tiada tunjuk apa-apa perubahan. Kami boleh dikatakan hari-hari jumpa sebab rumah pun tidak jauh. Sebelum ke Kuala Rompin pun arwah dan keluarga ada datang ke rumah makan tengah hari.

“Arwah anak saya merupakan seorang anak yang ceria dan baik. Memang saya tidak sangka dia akan pergi dahulu menghadap Ilahi bersama tiga cucu. Apa-apapun mak cik reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Nenasi Pantai di sini, semalam.

Hamzah Zahari dan Rahimah Awang Muda, bersama tiga anak Ainul Mardhiyah, Muhammad Luqman Nur Hakim dan Muhammad Lutfi yang maut kemalangan di Kilometer 65 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, baru-baru ini.

Jenazah lima beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Nenasi Pantai di sini, kira-kira pukul 1.10 petang semalam.

Terdahulu, kesemua jenazah yang menjalani bedah siasat di Hospital Pekan selesai dimandikan kira-kira pukul 4.30 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, lima sekeluarga terbabit dalam perjalanan dari arah Rompin menghala ke Nenasi manakala MPV dari arah Kuantan menghala ke Rompin.

“Apabila sampai di tempat kejadian, Proton Wira dipercayai hilang kawalan dan ma­suk ke laluan bertentangan lalu melanggar MPV yang sedang bergerak lurus.

“Kemalangan mengakibatkan pemandu dan empat penum­pang kereta Proton Wira meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan seorang penumpang MPV menga­lami kecederaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini